Aksi PKNP FC – PJ City FC malam ini ditunda ke Ahad – MFL
KUALA LUMPUR,. Perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Piala Malaysia antara PKNP FC dan PJ City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini, ditunda ke Ahad ini.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dalam satu kenyataan, memaklumkan penundaan tersebut diputuskan selepas badan itu menerima permohonan PJ City FC berikutan sebahagian besar pemain dan pegawai kelab berkenaan masih dalam tempoh arahan kuarantin akibat wabak Influenza B.
Menurut MFL, permohonan PJ City FC itu juga disokong dengan surat arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Manjung bertarikh 19 Sept 2019.
Penundaan perlawanan penentuan satu slot ke suku akhir Piala Malaysia itu juga sekali gus menyebabkan tarikh aksi timbal balik suku akhir menentang Kedah turut terpaksa ditunda.
Perlawanan suku akhir pertama yang menyaksikan pemenang di antara PKNP dan PJ City bertemu Kedah pada asalnya dijadual pada Selasa depan (24 Sept) dipinda ke Rabu (25 Sept) manakala aksi suku akhir kedua pada Sabtu (28 Sept) dipinda ke Ahad (29 Sept).
Ketua Jurulatih PJ City FC, K. Devan berterima kasih kepada MFL kerana memahami situasi buruk yang menimpa anak buahnya dan sudi mendengar rayuan mereka.
“MFL jelas bertimbang rasa walaupun kami sedar mereka berdepan jadual yang begitu ketat dalam menunda tarikh perlawanan walaupun kami ada meminta tempoh rehat 14 hari.
“Namun tempoh 48 jam ini sekurang-kurangnya memberi kami sedikit lagi masa untuk beberapa pemain cuba pulih sepenuhnya bagi berdepan PKNP FC,” katanya.
Keputusan penundaan perlawanan itu turut disambut baik ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.
— BERNAMA