
Aktivis Belarus diampuni pihak berkuasa selepas dikenakan penjara lapan tahun
MOSCOW: Seorang aktivis Belarus yang dipercayai telah dipaksa untuk bekerjasama dengan perkhidmatan keselamatan Rusia KGB di Minsk telah diampuni kelmarin, beberapa minggu selepas dia dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun.
Roman Protasevich mengendalikan akaun Nexta Telegram yang menyelaraskan protes besar-besaran terhadap Presiden Alexander Lukashenko pada 2020. Dia ditangkap pada 2021 selepas penerbangannya ke Lithuania dipaksa untuk mendarat di Minsk.
Pada awal bulan ini, mahkamah di negara sekutu Moscow itu menjatuhkan hukuman penjara dalam koloni perundangan terhadap aktivis berusia 28 tahun itu. Dia telah diarahkan untuk penahanan dalam rumah selepas perbicaraan.
Namun kelmarin, agensi berita negeri Belarus Belta melaporkan bahawa Protasevich telah diampuni. “Saya baru menandatangani dokumen bersesuaian yang mengesahkan bahawa saya telah diampuni,” Belta memetik Protasevich sebagai berkata.
“Saya sangat bersyukur kepada negara dan sudah pastinya, kepada presiden secara peribadi bagi keputusan sebegitu,” katanya dalam satu rakaman video yang dikeluarkan oleh Belta.
“Ini, sudah pastinya satu berita yang hebat.”
Selepas penahanannya, Protasevich telah dipercayai sebagai dipaksa oleh pihak berkuasa untuk mengemukakan kenyataan permohonan maaf di televisyen negara. Ketika perbicaraannya bermula pada Februari, sebuah video yang dikeluarkan oleh Belta menunjukkan dia mengaku “bersalah sepenuhnya”.
Beberapa orang dalam kumpulan pembangkang Belarus yang tinggal dalam buangan telah menuduhnya bekerjasama dengan pihak berkuasa. Hanya sedikit maklumat yang diketahui tentang bagaimana Protasevich telah dilayan oleh perkhidmatan keselamatan.
Penahanan Protasevich mengejutkan pihak berkuasa penerbangan dunia. Sebuah jet pejuang Belarus telah memaksa pesawat Ryanair dari Greece ke Lithuania untuk mendarat di Minsk. Nexta, sebuah rangkaian terkenal di YouTube dan Telegram, memainkan peranan aktif dalam protes 2020, yang meletus selepas Lukashenko dituduh menipu dalam pilihan raya.
— Agency