Aktivis remaja Greta Thunberg terima pengiktirafan ‘Person of the Year’
AMERIKA SYARIKAT,. Aktivis alam sekitar dari Sweden Greta Thunberg, 16, pada Rabu dipilih sebagai “Person of the Year 2019” oleh majalah Time.
Menurut Editor Eksekutif majalah itu, Ben Goldberger, pengiktirafan yang diberikan kepada remaja itu adalah berdasarkan kepada ‘kesan Greta’ sebagai generasi baharu dalam memperjuangkan alam sekitar.
Greta dikenali sebagai aktivis yang lantang mencabar pemimpin dunia untuk menghentikan pemanasan global serta pernah mengadakan bantahan solo di luar parlimen Sweden selama 15 bulan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berlangsung.
“Dalam memilih Greta, kami mengambil maklum berkenaan kesan krisis iklim secara global yang kita ketahui lebih sedekad lalu.
“Walaupun ramai penyelidik, ahli sains dan penggubal dasar serta pemimpin negara yang mengetengahkan isu terbabit, namun ia tidak seperti tahun lalu apabila seorang gadis berusia 16 tahun berjaya melakukannya,” kata Goldberger.
Greta sebelum ini mencetuskan fenomena apabila berjaya mengerakkan perhimpunan kesedaran alam sekitar serta kesedaran mengenai isu pemanasan global di seluruh dunia yang dihadiri ratusan ribu orang.
Tidak terkecuali di Malaysia yang menyaksikan perhimpunan aman itu berlangsung beberapa bulan lalu yang dihadiri ribuan aktivis alam sekitar.