Amanah akui PH hadapi tentangan sengit di Tanjung Piai – Mohamad Sabu
KOTA BHARU,. Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui Pakatan Harapan (PH) berhadapan tentangan sengit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kerana yakin akan ada pihak yang memainkan isu perkauman untuk meraih undi.
Presidennya Mohamad Sabu berkata jika tidak berhati-hati pengundi akan terpengaruh dan ia boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH nanti. Amanah adalah salah sebuah parti komponen PH.
“Saya akui sentimen itu akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PH jika mereka memainkan isu perkauman itu terutama yang mengaitkan DAP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sini, hari ini.
PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini mewakili PH dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, pengasas pusat tuisyen; dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, seorang ahli perniagaan.
Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata PH perlu bekerja keras bagi menerangkan kepada rakyat untuk menghakis sentimen perkauman yang dibawa oleh pihak-pihak tertentu itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
— BERNAMA