
Amang seksual dipenjara 24 tahun? Lebih serius daripada rogol rupanya – Zaid Ibrahim
Mohd Zaid berpandangan Ketua Hakim Negara perlu campur tangan dalam semakan hukuman kes ini kerana ia dilihat lebih teruk berbanding kesalahan merogol walhal amang seksual tidak membabitkan sebarang penembusan (penetration).
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Undang-Undang Datuk Mohd Zaid Ibrahim berasa hairan dengan hukuman terhadap seorang pendakwah yang dipenjara 24 tahun atas kesalahan amang seksual baru-baru ini.
Zaid Ibrahim mengkritik hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan atas kesalahan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.
Beliau menyatakan bahawa hukuman itu lebih berat berbanding terhadap kesalahan rogol statutori dan mempersoalkan keputusan hakim.
Zaid Ibrahim menekankan perlunya peranan Ketua Hakim Negara untuk memastikan hukuman yang lebih seimbang dan adil dalam kes-kes seperti ini.
Beliau mendakwa hukuman sedemikian wajar diteliti semula apabila ia dilihat lebih berat berbanding kesalahan merogol.
“Saya tidak tahu bahawa tuduhan serangan seksual boleh membawa hukuman penjara selama 24 tahun! Itu lebih serius daripada kesalahan rogol statutori.
“Adakah (keputusan) hakim mahkamah sesyen ini betul? Saya tidak fikir begitu.
“Serangan (amang) seksual seperti menyentuh bahagian yang dilarang. Adakah ia melibatkan sebarang kemasukan (penetration)?
“Mangsa adalah seorang remaja tetapi dia berumur 17 tahun, hampir dewasa. Adakah terdapat persetujuan?
“Tertuduh adalah seorang pendakwah, tetapi hukuman seorang pendakwah agama juga mesti sesuai dan sepadan dengan kesalahan tersebut.
“Dia menghadapi tuduhan atas dua kesalahan dan hukuman dijalankan secara berturut-turut! Ya ampun,” katanya dalam satu kenyataan di laman X pada Sabtu.