Amaran keselamatan Jepun mengenai ancaman tidak berasas

KUALA LUMPUR,. Amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Jepun melalui kedutaannya di negara Asia Tenggara adalah bersandarkan kepada sebuah platform media dan tidak mempunyai asas yang kukuh, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata maklumat daripada risikan Angkatan Tentera Malaysia, beliau mengesahkan amaran berkenaan sesuatu isu yang tidak perlu dibimbangkan.

“Malah Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) telah memberi kenyataan bahawa ia amaran berkenaan, tiada asas langsung berkait dengan pengganas-pengganas.

“Saya akan lihat Wisma Putra dan tanya apa asas kerajaan Jepun mengeluarkan kenyataan berkenaan,” katanya dalam sidang media khas Menteri Kuartet COVID-19 di bangunan Parlimen di sini semalam.

Semalam, Polis Diraja Malaysia tidak mengesan atau menerima sebarang maklumat mengenai ancaman keselamatan terhadap mana-mana rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di negara ini.

Sebelum itu Kedutaan Jepun di sini, mengesahkan telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di Malaysia mengenai kemungkinan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara Asia Tenggara.

Menurut laporan berkenaan, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

Terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

— Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )