AmBank antara penyedia pembiayaan pilihan Tesla di Malaysia
KUALA LUMPUR,. AmBank menjalin kerjasama khas dengan Tesla Inc bagi menawarkan pakej kewangan auto menarik untuk rakyat Malaysia membeli kenderaan elektrik (EV) Model Y Tesla yang dilancarkan secara rasmi di negara ini, semalam.
Dalam kenyataannya, AmBank berkata bank tersebut adalah antara dua penyedia pembiayaan pilihan Tesla di Malaysia.
Pengeluar EV global itu turut menjalin kerjasama dengan AmGeneral Insurance Bhd bagi mengendalikan aspek insurans kenderaan Tesla.
Mengulas usaha itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata kerjasama dengan Tesla juga bertepatan dengan portfolio pembiayaan auto EV bank berkenaan yang selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) secara meluas.
“Bagi pembelian Model Y Tesla, AmBank menawarkan salah satu pembiayaan kenderaan berkadar faedah paling kompetitif di pasaran yang pastinya sesuai dengan pelan pembayaran semula mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Serantau Tesla Isabel Fan berkata sejajar dengan sebahagian komitmen Tesla di Malaysia, syarikat tersebut telah menyediakan pelan pembangunan menyeluruh yang merangkumi pusat pengalaman, servis dan sokongan selain infrastruktur pengecasan bagi kelancaran pengalaman untuk kalangan pemilik kenderaan berkenaan.
“Kami komited dan teruja dalam membantu menangani aspek pelepasan karbon sifar bagi masa depan lebih hijau untuk Malaysia,” katanya.
— BERNAMA