AMM-53: Malaysia ulangi akses terhadap vaksin COVID-19 perlu adil – Hishammuddin

AMM-53: Malaysia ulangi akses terhadap vaksin COVID-19 perlu adil – Hishammuddin

KUALA LUMPUR,. Malaysia mengulangi bahawa akses kepada mana-mana ubat antivirus dan vaksin untuk pandemik COVID-19 haruslah adil dan saksama, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-53 (AMM-53) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung antara 9 hingga 12 Sept, Hishammuddin menekankan bahawa persaingan tidak adil seperti monopoli terhadap ubat-ubatan antivirus dan sebarang vaksin COVID-19 yang berpotensi perlu dihalang.

“Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 (EAS FMM), Hishammuddin menyatakan tentang kepentingan negara anggota EAS bekerjasama dengan ASEAN untuk menangani kesan buruk akibat pandemik itu, serta memelihara rantaian bekalan global.

“Pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN + 3 (APT FMM) ke-21 pula, Hishammuddin menekankan perlunya negara-negara ASEAN + 3 untuk terus bekerjasama rapat bagi meningkatkan hubungan ekonomi yang saling menguntungkan, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan kewangan global disebabkan wabak itu,” menurut kenyataan itu.

Menteri-Menteri Luar ASEAN mengambil maklum terhadap laporan kemajuan untuk merealisasikan keutamaan ASEAN dan hasil-hasil utama untuk 2020 dan tindak balas kolektif ASEAN terhadap wabak itu serta menyetujui penerbitan Deklarasi Pemimpin bagi Visi Pembangunan Komuniti ASEAN Pasca 2025 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang dijadualkan berlangsung November ini, semasa Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-27.

Sepanjang acara tiga hari bermula 9 Sept melalui sidang video, Hishammuddin juga menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ); Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-27 dan menyertai Pasca Persidangan Menteri (PMC) dengan sembilan rakan dialog iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea dan Amerika Syarikat (AS).

Pada AMM ke-53, Hishammuddin mengulangi komitmen tegas Malaysia untuk menjaga kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya, iaitu perselisihan wilayah dan maritim harus diselesaikan dengan cara damai dan sesuai dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Menteri Luar juga menggesa negara anggota ASEAN untuk bekerjasama dalam menangani sepenuhnya impak dan cabaran yang ditimbulkan oleh krisis berpanjangan di Rakhine, Myanmar termasuk pemerdagangan manusia,” menurut Wisma Putra.

Kementerian itu menyatakan, Hishammuddin sekali lagi menekankan kedudukan Malaysia mengenai perselisihan wilayah dan maritim dan menekankan keperluan bagi AS dan Republik Korea untuk meneruskan rundingan vis-à-vis terhadap situasi di Semenanjung Korea, semasa ARF ke-27.

Hishammuddin menegaskan semula pentingnya Perjanjian SEANWFZ sebagai instrumen utama kepada pelucutan dan pengawalan senjata nuklear, menolak sebarang rancangan Israel untuk memperluas wilayah Palestin yang didudukinya di Tebing Barat, dan menekankan keperluan menyelesaikan proses penghantaran pulang pelarian dari Rakhine.

Dalam mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ, Malaysia menyedari perbezaan kedudukan oleh negara anggota ASEAN berhubung keraguan negara dengan senjata nuklear terhadap Perjanjian SEANWFZ.

Bagaimanapun, untuk menggerakkan proses itu, Hishammuddin menegaskan keperluan untuk meneruskan perbincangan mendalam antara pegawai dan pakar, serta menetapkan matlamat yang nyata, menurut Wisma Putra.

Semasa PMC dengan rakan dialog ASEAN, anggota mengupas mengenai kemajuan yang dicapai di bawah Pelan Tindakan antara ASEAN dengan rakan dialog masing-masing, yang secara kolektifnya melihat pertukaran pandangan mengenai perkara berkaitan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.

“Isu itu termasuk maklum balas rantau terhadap pandemik itu, industri kelapa sawit, perkembangan di Laut China Selatan, Semenanjung Korea dan Rakhine, usaha antipengganas dan ekstremisme serantau, perubahan iklim, kesediaan pengurusan bencana, keselamatan maritim dan isu keselamatan lain.

“Mesyuarat juga menerima pakai Pelan Tindakan lima tahun (2021-2025) dengan Kanada, New Zealand, India, Republik Korea dan AS,” menurut kenyataan itu.

Pada Sesi Khas Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN mengenai Pembangunan Sub-Serantau, Hishammuddin menekankan bahawa ASEAN perlu bekerjasama untuk memulihkan rantaian bekalan, meningkatkan infrastruktur digital dan kesalinghubungan, menggiatkan rundingan antara entiti subserantau dan menggalakkan lebih banyak model perkongsian awam-swasta dalam pelaburan bagi menyokong inisiatif pembangunan di bawah kerjasama subserantau.

Beliau turut mengambil bahagian dalam Dialog Menteri ASEAN mengenai Pengukuhan Peranan Wanita untuk Keamanan dan Keselamatan Mampan serta menyertai rakan sejawatannya dalam Mesyuarat Bersemuka antara Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )