Anak syarikat Fintec Global bina 14 barisan proses celupan sarung tangan

Anak syarikat Fintec Global bina 14 barisan proses celupan sarung tangan

KUALA LUMPUR,. Anak syarikat milik penuh Fintec Global Bhd (Fintec), Fintec Glove Sdn Bhd bekerjasama dengan AE Multi Industries Sdn Bhd dan rakan kongsinya, Ripcol Engineering Sdn Bhd untuk membina 14 barisan proses celupan sarung tangan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Fintec berkata pembinaan 14 barisan proses celupan sarung tangan di tanah seluas 1.86 hektar di kawasan perindustrian Chemor — dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM160 juta — dijangka bermula bulan ini, manakala pengeluaran bermula pada Jun 2021.

“Kapasiti pengeluaran diunjurkan melebihi 3.3 bilion unit sarung tangan perubatan, bersamaan dengan 32,000 unit sejam.

“Berdasarkan persekitaran yang kondusif untuk permintaan terhadap sarung tangan perubatan, Fintec Glove menjangka dapat meraih semula kos modal dalam tempoh tiga tahun, menganggarkan purata harga jualan untuk setiap unit sarung tangan kekal melebihi 20 sen setiap unit,” katanya.

Kumpulan itu berkata memandangkan pandemik COVID-19 telah menyebabkan permintaan terhadap sarung tangan melonjak, mengakibatkan kekurangan bekalan, dan sarung tangan perubatan kini dijual pada sembilan sen US (US$1+RM4.08) seunit.

“Pada masa kini Fintec Glove melihat minat yang tinggi daripada pelbagai pihak untuk menandatangani kontrak jangka panjang sebagai komitmen terhadap penghantaran sarung tangan pada masa depan, sekali gus ia yakin prospek permintaan terhadap sarung tangan perubatan kekal positif.

“Perniagaan sarung tangan dijangka menyumbang 25 peratus atau lebih daripada aset bersih atau keuntungan bersih kumpulan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )