angan bayar zakat pada amil tanpa tauliah
KUALA TERENGGANU,. Umat Islam yang membayar zakat fitrah atau harta kepada amil tidak bertauliah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda, berkata
berdasarkan Seksyen 20 (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, mereka yang enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah melalui amil yang dilantik akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Bayaran itu juga tidak sah dan perlu membuat pembayaran semula kepada amil atau melalui dalam talian.
“Jabatan Mufti negeri melalui program bicara mufti mengeluarkan pandangan hukum mengeluarkan zakat kepada amil bertauliah adalah wajib.
“Institusi, pertubuhan atau individu yang bukan dilantik sebagai amil, tetapi menjalankan kerja mengutip, menerima dan mengagihkan zakat adalah berdosa kerana ia melanggar arahan pemerintah,” katanya ketika dihubungi.
Osman berkata demikian ketika mengulas terdapat individu daripada pertubuhan tertentu menjalankan kegiatan mengutip zakat fitrah dan harta daripada umat Islam sejak awal ramadan lalu.
Beliau mengakui ada menerima laporan kegiatan mengutip zakat fitrah serta harta oleh individu dan siasatan sedang dilakukan.
Osman menjelaskan, MAIDAM menggalakkan seluruh umat Islam di negeri ini membayar zakat secara dalam talian susulan wabak COVID-19 dan larangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa masih sehingga 9 Jun depan.
Jelasnya, selain bayaran zakat secara dalam talian, MAIDAM juga turut melantik seramai 1,089 amil bertauliah mengikut mukim masjid untuk memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab itu.
“Semua amil yang dilantik sudah diarahkan supaya mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Umat Islam yang menggunakan khidmat amil bertauliah untuk membayar zakat fitrah dan harta hendaklah mendapatkan resit rasmi dikeluarkan MAIDAM, ” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan mengutip zakat oleh individu tidak bertauliah diminta melaporkan kepada MAIDAM.
— BH