Anggap Sarawak “parochial” tidak bantu penyatuan negara, kata Abang Johari

Anggap Sarawak “parochial” tidak bantu penyatuan negara, kata Abang Johari

SIBU,. Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, tindakan menganggap negeri ini sebagai “parochial” atau kedaerahan tidak akan membantu penyatuan negara.

Menurut beliau, dari perspektif Sarawak, negara ini harus berbalik kepada fundamental yang telah diletakkan sebagai asas penubuhan negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa antara Kerajaan (IGC).

“Saya yakin bahawa pengiktirafan terhadap fundamental ini akan memperkukuhkan lagi semangat kenegaraan kesemua bahagian negara ini terhadap Malaysia dan bukan sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, di sini malam ini.

Beliau berkata, Sarawak hanya mahukan kuasa-kuasa yang terhakis, secara sengaja atau tidak sengaja, dikembalikan, tidak lebih atau tidak kurang daripada itu.

“Saya gembira melihat perbezaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, Kerajaan Sarawak terutamanya, diuruskan menerusi mekanisme perundingan termaktub dalam Perlembagaan atau menerusi pendekatan secara persahabatan yang diterima kedua-dua pihak berdasarkan peraturan undang-undang,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak telah mencapai banyak pembangunan dalam tempoh 57 tahun semenjak penubuhan Malaysia namun belum lagi mampu mengejar pembangunan khususnya di Semenanjung Malaysia.

Rundingan yang masih berjalan berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia menghuraikan ini dan menerusi pertemuan minda dalam satu persekitaran yang sopan dan penuh hormat. Kami semua yakin dan berharap penyelesaian yang bakal dilihat ialah tiada siapa pun yang rugi dan yang lebih penting tiada pengurangan dalam hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata adalah penting bagi Sarawak untuk terus mengorak langkah ke arah persada pembangunan yang lebih intensif agar mampu menjadi sebuah negeri yang maju menjelang 2030, selain mengambil pendirian situasi “menang-menang” kerana konfrontasi berterusan akan membawa kerugian kepada semua pihak.

Berdasarkan aspirasi ini, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pimpinannya sedang berusaha untuk memajukan Sarawak dalam bidang pertanian komersial, aktiviti pengeluaran, perlombongan, industri ladang hutan, pelancongan, dan perkhidmatan berteraskan ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

“Petronas telah memberi komitmen untuk menjelaskan SST (Cukai Jualan Negeri sebanyak) lima peratus kepada Kerajaan Sarawak dan mengiktiraf hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak, 1958,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )