
Angka kes baharu COVID-19 di Sabah turun lebih 300
KOTA KINABALU, 25 Okt — Angka kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini menyaksikan penurunan sebanyak 356 kes, iaitu 533 kes berbanding 889 kes semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata terdapat lapan kematian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini.
“Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 11,818 kes. Sehingga hari ini, seramai 5,195 pesakit dilaporkan telah sembuh, manakala seramai 6,525 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi berkata Sandakan merupakan daerah yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 167 kes, diikuti Kota Kinabalu (162 kes), Tawau (75 kes), Tuaran (29 kes) dan Kudat (22 kes).
Kluster penjara yang menyumbang jumlah kes tertinggi di Kota Kinabalu sebelum ini hanya mencatatkan 65 kes berbanding 434 kes semalam, katanya.
Beliau berkata JKNS turut mengenal pasti terdapat empat kluster baharu masing-masing Kluster Titir di Keningau; Kluster Jambul (Sandakan); Kluster Bandaran (Kota Kinabalu); dan Kluster Omadal di Semporna.
Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata pengagihan bantuan bakul makanan di seluruh daerah berjalan lancar dan sehingga kini, sebanyak 87,299 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.
Masidi turut mengingatkan rakyat Sabah untuk terus memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard dan mengamalkan kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian kerana ia penting sebagai usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini.
— BERNAMA