Angka korban Siklon Tropika Seroja di Indonesia meningkat kepada 128

Angka korban Siklon Tropika Seroja di Indonesia meningkat kepada 128

JAKARTA: Angka korban bencana banjir lumpur, tanah runtuh dan angin kencang akibat Siklon Tropika Seroja di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia terus meningkat kepada 128 orang, ketika pasukan mencari dan menyelamat masih bertungkus-lumus mengesan mangsa yang masih tertimbus banjir lumpur dan terperangkap dalam runtuhan tanah.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Doni Monardo dalam sidang media menerusi webinar tengah hari ini berkata cuaca ekstrem itu telah menyebabkan kerosakan (setakat pendataan sehingga pagi tadi) lebih 2,000 rumah, kemudahan awam, pokok-pokok tumbang dan menyebabkan terputusnya bekalan elektrik dan komunikasi.

“Setakat malam tadi, sebanyak 8,424 penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara, jumlah mereka yang hilang (yang dilaporkan dan berdasarkan data sementara setakat ini) adalah seramai 72 orang.

“BNPB kini turut menggunakan 13 unit helikopter dalam operasi mencari dan menyelamat yang turut disertai polis dan tentera,” katanya, yang turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube rasmi Sekretariat Presiden Indonesia.

Cuaca ekstrem sejak 3 April lepas itu melibatkan 10 kabupaten di NTT iaitu Flores Timur, Malaka Tengah, Lembata, Ngada, Akar, Sumba Timur, Rote Ndao, Sabu Raijua, Timur Tengah Selatan dan Ende serta melibatkan sebuah kota iaitu Kota Kupang.

Sementara itu Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Dwikorita Karnawati berkata Siklon Tropika Seroja buat pertama kalinya memasuki kawasan daratan (tidak seperti sebelum ini), sehingga menyebabkan bencana yang dahsyat.

“(Siklon Tropika) Seroja ini pertama kali masuk sampai ke daratan. Ini yang tidak lazim, diramalkan angin kencang berkelajuan 70 knots (130km sejam) masih berlaku sehingga esok, manakala gelombang laut diperkirakan setinggi antara 2.5 hingga 6 meter, gelombang ini seperti tsunami, tapi bukan tsunami,” katanya.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)