Annuar Musa nasihati pemimpin BN tidak jadikan JASA satu polemik

KOTA BHARU, 8 Nov — Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menasihati pemimpin parti itu agar tidak menjadikan penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 sebagai polemik.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata ini kerana penubuhan semula jabatan itu adalah sebagai jentera penyampai dasar kerajaan agar lebih difahami oleh rakyat di akar umbi

“Sebelum ini Jasa ditutup oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan ini bererti tiada peruntukan dan pada Belanjawan 2021 Jasa diumumkan untuk ditubuhkan mulai tahun depan.

“Namun pada hemat saya, penubuhan ini bukannya untuk sekadar hidupkan Jasa dalam bentuk lama dan sudah tentu mempunyai idea tertentu. Pihak lain tidak usahlah wujudkan polemik sehingga terjadi tuduh-menuduh termasuk bagi mematikan UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat 4 Peringkat UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh meminta agar mereka yang berkenaan mendengar terlebih dahulu penjelasan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata parti itu percaya peruntukan RM85.5 juta yang dikhususkan kepada Jasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia merupakan jumlah yang terlalu besar.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan menjelaskan kewajaran peruntukan sebesar itu untuk penubuhan semula jabatan tersebut yang disifatkannya berperanan sebagai “pembesar suara”.

Sementara itu, Annuar berkata kesemua parti komponen PN serta sekutu khususnya BN, sudah membuat ketetapan untuk meningkatkan solidariti dan kesepakatan dalam mendukung kerajaan semasa termasuk menyokong semua rang undang-undang yang dibawa oleh PN, khususnya Belanjawan 2021.

“Dalam hubungan ini, saya ingin membuat seruan kepada parti komponen BN supaya mendukung apa yang telah diisytiharkan oleh Majlis Tertinggi (UMNO) seperti mana yang termaktub dalam kenyataan media yang ditandatangani oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Adalah sangat penting dalam saat ini kita kekalkan kesepaduan dan solidariti dalam PN, Muafakat Nasional dan berpegang kepada apa yang telah diisytiharkan oleh presiden kerana yang diumumkan itu adalah hasil mesyuarat Majlis Tertinggi,” katanya.

Menurutnya, kesemua 43 ahli Parlimen BN telah diarahkan oleh ketua whip agar menyokong sebulat suara segala usaha kerajaan.

“Namun begitu, tidaklah menjadi satu kesalahan kita memberikan syor, pandangan dan membuat teguran terhadap apa-apa yang dikemukakan. Tetapi pandangan yang dikemukakan itu mesti berpandu kepada fakta bukan kepada ‘hearsay’ agar teguran dan pandangan kita lebih berkesan dan boleh membantu kerajaan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )