Anwar, Muhyiddin tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong 4.30 petang ini

Anwar, Muhyiddin tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong 4.30 petang ini

KUALA LUMPUR,. Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara, setelah dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan kedua-dua pemimpin itu menghadap Seri Paduka pada 4.30 petang ini di Istana Negara.

Ini berikutan tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin tiba di Istana Negara melalui Pintu 2 pada kira-kira 4 petang selepas meninggalkan kediamannya di Bukit Damansara.

Menyusul adalah kenderaan yang membawa Anwar pada kira-kira 4.10 petang selepas meninggalkan pejabatnya di Petaling Jaya pada 3.50 petang.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)