Apabila simbol negara jadi beban

Apabila simbol negara jadi beban

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu laporan menyatakan zaman yang mana setiap negara mempunyai sebuah syarikat penerbangan sudah berlalu. Beliau bagaimanapun menjelaskan negara masih boleh tetap memiliki syarikat penerbangan, tetapi ia tidak semestinya dikendalikan oleh kerajaan.

Ini kerana umum memahami selama ini apa yang disebut sebagai syarikat penerbangan nasional wajar dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan.

Kenyataan beliau itu menampilkan 3 realiti.

Pertama, simbol, kebanggaan dan jati negara. Kedua, realiti perniagaan syarikat penerbangan. Ketiga, sistem ekonomi yang beralih daripada perusahaan milik dan kendalian kerajaan kepada penswastaan.

Pada perkara pertama itu, apabila disebut setiap negara perlu memiliki syarikat penerbangan sendiri, maka ia menuntut renungan terhadap asal-usul perkhidmatan udara sebagai simbol negara.

Pada mulanya, tujuan ditubuhkan syarikat penerbangan nasional ialah bagi membolehkan suatu perkhidmatan udara yang memenuhi keperluan sesebuah negara. Maknanya, sesebuah negara tidak boleh mengharapkan syarikat penerbangan negara lain untuk memenuhi keperluannya.

Sedangkan bagi menguruskan sesebuah syarikat penerbangan, ia memerlukan pelaburan yang besar dan sokongan padu kerajaan. Sementara keupayaan kerajaan pula merupakan kebanggaan bagi negara kerana ia memiliki dan mengendalikan syarikat penerbangan nasional.

Lebih-lebih lagi reka bentuk kapal terbang serta penampilan perkhidmatan pelanggannya juga bertindak sebagai saluran bagi memberikan wajah nasional kepada dunia. Tambahan pula industri pelancongan nasional turut berkait rapat dengan destinasi yang memaparkan mercu tanda negara.

Apatah lagi bila lapangan terbang utama negara yang gagah, indah dan lancar boleh membawa nama baik kepada negara dan bukti kecekapan rakyatnya menguruskan sesuatu yang kompleks.

Simbol utama syarikat penerbangan nasional adalah logonya.

Seringkali ia turut menggambarkan jati diri negara, baik dari segi warna dan reka bentuk logonya. Maka logo syarikat penerbangan nasional ini turut mewakili negara, seolah-olah ia merupakan bendera kebangsaan atau jata rasmi.

Logo ini diletakkan pada ekor kapal terbang, dengan semakin luas laluan penerbangannya, maka ia juga menjadi jenama bernilai tinggi. Selain itu, reka bentuk luar kapal terbang, beserta hiasan dalamannya sering memaparkan motif yang mencerminkan budaya negara.

Bukan itu saja, imej negara turut dibawa kru kapal terbang, terutamanya pakaian pramugari dan pramugara. Pakaian seragam mereka mencerminkan budaya dan jati diri negara.

Identiti negara turut dipaparkan dalam bentuk menu dan kuisin makanan. Setiap syarikat penerbangan nasional mesti menggunakan bahasa kebangsaan mereka ketika pengumuman rasmi dibuat, selain bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa negara destinasi.

Sifat syarikat penerbangan nasional adalah seolah-olah sebahagian daripada lambang negara lain, seperti bendera dan lagu kebangsaan. Ia juga menjadi seperti institusi negara seperti istana, bangunan Parlimen dan muzium. Maka sebab itu juga ia disebut sebagai pembawa bendera negara atau “flag carrier”.

Syarikat penerbangan nasional Malaysia, Malaysian Airlines memulakan operasinya pada 1972 sebagai Malaysian Airlines System (MAS). Pada masa itu pemahamannya adalah setiap negara wajib mempunyai syarikat penerbangan nasional, bukan saja untuk memudahkan pengangkutan, tetapi merupakan imej dan maruah negara.

Di Asia Tenggara, terdapat Garuda Indonesia yang ditubuhkan pada 1949 sebagai Garuda Indonesian Airways, Thai Airways International ditubuhkan pada 1960 dan Phillipinnes Airlines ditubuhkan pada 1941.

Singapore Airlines (SIA) yang juga ditubuhkan pada 1972, sama masa dengan MAS bermula sebagai Singapore International Airlines kerana kedua-duanya adalah hasil daripada pemecahan Malaysian-Singapore Airlines (MSA).

Syarikat penerbangan nasional Malaysia dan Singapura diwujudkan pada 1946 dengan nama Malayan Airways beribu pejabat di Singapura, iaitu pada tahun ketika mana Malayan Union ditubuhkan.

Maknanya ia merupakan syarikat penerbangan bagi Malayan Union. Sedangkan Malayan Union adalah merupakan wilayah jajahan British. Logo syarikat ini adalah harimau bersayap yang dinamakan “Flying Tiger”. Warnanya juga adalah kuning dan hitam melambangkan identiti Malaya.

Seperti mana Malayan Banking yang merupakan bank utama nasional dan juga mempunyai logo kepala harimau dengan warna korporatnya kuning dan hitam. Ia juga ketika itu beribu pejabat di Singapura.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, syarikat itu bertukar nama kepada Malaysian Airways. Apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965, syarikat ini menjadi Malaysian-Singapore Airlines pada tahun berikutnya. Ia tetap memiliki logo harimau terbang, tetapi dalam bentuk lebih bergaya. Borneo Airways kemudian digabungkan dengan MSA.

Sebagai negara yang beridentiti berlainan, MSA akhirnya menerima tekanan untuk dipecahkan 2. Pada tahun 1970-an, penulis membaca akhbar yang melaporkan bagaimana proses “perceraian” itu bukan merupakan suatu yang mudah dan boleh dibuat secara harmoni bagi kedua pihak.

Ia bukan saja berhubung dengan rundingan mengenai laluan udara, yang mana Malaysia memperoleh laluan domestik dan Singapura dapat bahagian antarabangsa, tetapi juga pertikaian mengenai jenama MSA dan logonya. Ini kerana jenama MSA dan harimau terbang itu mempunyai nilai “goodwill” yang mantap.

Adalah dilaporkan kedua-dua negara mahukan jenama MSA yang mana ada cadangan supaya syarikat penerbangan berasingan itu dinamakan sebagai Mercury Singapore Airlines dan Malaysian Sendirian Airlines. Rencana yang disiarkan dalam akhbar ketika itu mengenai proses pemisahan ini pula bersifat patriotik untuk mempertahankan maruah negara.

Akhirnya dipersetujui kedua-dua pihak tidak menggunakan jenama dan logo MSA. Malaysia dan Singapura perlu memperkenalkan jenama syarikat penerbangan yang baru dan berlainan daripada MSA.

Maka lahirlah MAS dengan logo wau berwarna merah. Merah putih seperti jalur bendera kebangsaan menjadi warna MAS. Sementara SIA mempunyai logo berbentuk burung diilhamkan daripada keris perak dengan berwarna kuning di atas latar biru. Kedua-dua warna itu tiada pada bendera Singapura.

MAS kemudian bertukar logo dengan bentuk wau yang digayakan cergas dengan warna biru dan merah sebagai warnanya. Kini ada logo MAS yang versi berwarna biru muda. Industri penerbangan berubah sejak tahun-tahun kebelakangan ini dengan kemunculan syarikat penerbangan tambang murah. AirAsia yang walaupun berpangkalan di Malaysia tidak boleh menggambarkan dirinya sebagai syarikat penerbangan nasional negara ini.

Nama Asia itu lebih menggambarkan dirinya sebagai syarikat penerbangan serantau atau benua. Sementara Lion Air adalah syarikat penerbangan swasta yang berpangkalan di Indonesia sedangkan “lion” atau singa merupakan haiwan yang dikaitkan dengan Singapura.

Sementara Tiger Airways pula berpangkalan di Singapura sedangkan “tiger” atau harimau merupakan haiwan nasional Malaysia. Mungkin syarikat penerbangan, sama ada kerajaan dan swasta sudah tidak menjadi lambang nasional sesebuah negara. Ia hanyalah sebahagian daripada perusahaan swasta dalam pasaran bebas global yang mengetepikan soal identiti dan prestij negara bangsa.

Dalam pada itu, masih juga terdapat negara yang bukan saja mampu memiliki dan mengendalikan syarikat penerbangan nasional, tetapi terus mengecapi kejayaan seperti yang berlaku pada Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2019/09/03/apabila-simbol-negara-jadi-beban/

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)