APAD dibenar perbaharui kad pemandu teksi

APAD dibenar perbaharui kad pemandu teksi

PUTRAJAYA, 23 Mei — Kerajaan bersetuju membenarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memperbaharui Kad Pemandu teksi dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 1 Julai, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata ini kerana terdapat maklum balas masih ada pihak yang belum menerima bantuan tunai RM600 kerana pelbagai sebab termasuk kira-kira 30,000 pemandu teksi yang tidak dapat menerima manfaat itu berikutan Kad Pemandu mereka sudah tamat tempoh sah.

“Ini termasuk mereka yang Kad Pemandu telah luput sebelum 18 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata APAD seterusnya akan membantu pemandu untuk tindakan susulan bagi mendapatkan bayaran tunai RM600.

Wee berkata bagi pemandu teksi yang tidak mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), mereka perlu mengemas kini butiran akaun bank mereka melalui semakprihatin.treasury.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad).

Beliau berkata bagi pemandu yang mengalami masalah bankrap atau muflis pula, mereka boleh merujuk terus kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri atau melayari portal BHEUU untuk tindakan lanjut.

Beliau juga mengingatkan semua pengusaha pengangkutan awam termasuk pengusaha teksi supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjalankan operasi tanpa dokumen yang sah.

Wee berkata wabak COVID-19 telah menjejaskan pengusaha sektor pengangkutan awam apabila jumlah penumpang menunjukkan penurunan ketara susulan pergerakan terhad orang ramai di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dan pemandu teksi adalah antara kumpulan yang paling terjejas.

Justeru, beliau berkata kerajaan telah mengumumkan bayaran secara sekali beri sebanyak RM600 kepada pemandu teksi yang berdaftar dengan peruntukan sejumlah RM18 juta bagi Fasa Pertama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Mac lalu.

Ia bagi meringankan beban pemandu teksi yang terjejas pendapatan disebabkan pelaksanaan PKP yang kini dilanjutkan sehingga 9 Jun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya.

Wee berkata seramai 29,447 pemandu teksi yang memiliki kad pemandu sah yang aktif semasa tempoh PKP telah menerima manfaat bantuan tunai RM600 yang diuruskan pembayarannya oleh Kementerian Kewangan bermula 2 April melalui BSN dan Interbank GIRO (IBG).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)