APEC 2019 dibatalkan, protes seluruh Chile memuncak

APEC 2019 dibatalkan, protes seluruh Chile memuncak

KUALA LUMPUR,. Sidang Kemuncak Tahunan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Ke-27 yang dijadualkan berlangsung pertengahan November ini di Santiago, Chile dibatalkan.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Chile, Sebastián Piñera dalam ketegangan krisis politik dan protes besar-besaran yang berlaku di beberapa bandar raya utama negara itu.

“Seorang presiden perlu meletakkan rakyatnya lebih dari yang lain.

“Kebimbangan utama kami ialah mewujudkan semula ketenteraman awam, keselamatan rakyat dan keamanan sosial bersama-sama agenda sosial untuk memenuhi tuntutan utama rakyat kita,” katanya.

Sidang kemuncak kali ini juga bakal menyaksikan pertemuan julung kali yang dinantikan dunia, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping – yang dijangka membincangkan berkenaan kemelut berpanjangan perang dagang kedua-dua buah negara itu.

Sabtu lalu, lebih sejuta penduduk Chile melakukan demonstrasi jalanan serta bantahan besar-besaran dalam masa seminggu menuntut pembaharuan ekonomi dan pengunduran Pinera.

Penunjuk perasaan membawa bendera pribumi dan kebangsaan sambil menyanyikan lagu tentangan popular ketika pentadbiran diktator Augusto Pinochet pada 1973 hingga 1990 ketika negara itu, yang selalu dilihat sebagai antara paling stabil di Amerika Latin, bergelut dengan keganasan terburuk dalam masa beberapa dekad.

Kemarahan penduduk Chile diluahkan dalam bentuk tunjuk perasaan terhadap struktur sosio-ekonomi yang dirasakan ramai meminggirkan mereka, dengan gaji dan pencen rendah, penjagaan kesihatan dan pendidikan mahal dan jurang besar antara kaya dan miskin.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual tiba di tengah kota raya itu pada 14 November ini merupakan sebahagian pemimpin dunia yang telah mengesahkan diri hadir pada sidang kemuncak itu.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )