APEC sasar komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040

KUALA LUMPUR,. Visi Putrajaya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2040, visi baharu forum tersebut yang menggantikan Matlamat Bogor, adalah bagi komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040, bagi kemakmuran semua rakyatnya dan generasi akan datang.

Perkumpulan itu dalam satu kenyataan mengenai Visi Putrajaya APEC 2040, berkata ia akan terus komited kepada misi APEC dan prinsip-prinsip suka rela, tidak terikat dan konsensusnya.

Visi itu akan dicapai dengan menggerakkan tiga pemacu ekonomi iaitu perdagangan dan pelaburan; inovasi dan pendigitalan; serta pertumbuhan yang padu, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif.

“Kami mengakui kepentingan dan akan terus bekerjasama untuk menyediakan persekitaran yang bebas, terbuka, tiada diskriminasi, telus dan perdagangan dan pelaburan yang boleh diramal.

“Kami mengekalkan sokongan kami bagi peraturan-peraturan yang disepakati Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam menyediakan sistem dagangan pelbagai hala yang berfungsi dengan baik dan menggalakkan kestabilan dan kebolehramalan aliran perdagangan antarabangsa,” katanya.

Selain itu, APEC berkata ia akan terus memudah cara Matlamat Bogor dan integrasi ekonomi di rantau ini dengan kaedah dipacu pasaran, termasuk melalui kerja-kerja mengenai agenda Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) yang menyumbang kepada standard yang tinggi dan pelaksanaan serantau yang komprehensif.

“Kami akan menggalakkan kesalinghubungan yang lancar, rantaian bekalan yang berdaya tahan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab,” menurut APEC.

Mengenai inovasi dan pendigitalan, APEC akan menerapkan persekitaran yang membina, antara lain, dipacu pasaran serta disokong oleh inovasi dan ekonomi digital.

Ia akan meneruskan pembaharuan struktur dan dasar ekonomi yang baik untuk menggalakkan inovasi serta meningkatkan produktiviti dan dinamisme.

“Kami akan mengukuhkan infrastruktur digital, mempercepatkan transformasi digital, merapatkan jurang digital serta bekerjasama dalam memudahkan aliran data dan meningkatkan kepercayaan pengguna dan perniagaan dalam transaksi digital,” katanya.

Bagi pemacu ketiga, APEC berkata ia akan meningkatkan pembangunan sumber manusia serta kerjasama ekonomi dan teknikal untuk memastikan rakyatnya mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi masa depan.

APEC akan turut menggalakkan dasar-dasar, kerjasama dan pertumbuhan ekonomi yang menyokong usaha global bagi menangani secara komprehensif semua cabaran alam sekitar termasuk perubahan iklim, cuaca melampau dan bencana alam bagi mewujudkan planet yang mampan.

Bagi mengekalkan kedudukan unik APEC sebagai forum perdana kerjasama ekonomi serantau serta inkubator idea yang moden, efisien dan berkesan, APEC akan melaksanakan penambahbaikannya secara berterusan sebagai satu institusi menerusi tadbir urus baik serta libat urus pihak berkepentingan.

“Kita akan menjayakan Visi Putrajaya APEC 2040 menerusi semangat perkongsian yang sama, berkongsi tanggung jawab, saling menghormati serta kepentingan dan manfaat bersama.

“Kita akan mencapai visi ini menjelang 2040 menerusi pelan pelaksanaan sewajarnya serta meneliti tahap kemajuannya,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )