
APMM Johor gagalkan cubaan seludup syabu bernilai RM5.1 juta
JOHOR BAHRU,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah disyaki syabu seberat kira-kira 100 kilogram bernilai RM5.1 juta menggunakan sebuah bot gentian di perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, dekat sini, malam kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata kegiatan itu dikesan pihaknya menerusi risikan dan serbuan melalui Op Jaksa dilakukan di sekitar perairan pelabuhan terbabit.
“Pada kira-kira 9.30 malam tadi (kelmarin), bot peronda APMM mengesan sebuah bot gentian mencurigakan dan disyaki bot penyeludup sedang bergerak keluar dari muara Sungai Boh, Gelang Patah ke perairan Tanjung Piai, Pontian disyaki menuju ke sempadan Malaysia dan Indonesia.
“Menyedari kehadiran bot terbabit, bot gentian disyaki dikendalikan seorang lelaki tersebut telah memadamkan lampu lalu memecut laju ke kawasan paya bakau berhampiran dan melarikan diri ke dalam paya bakau dengan meninggalkan bot tersebut di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya.
Menurut Kamaruszaman, anggota bot peronda APMM kemudian merapat ke bot gentian terbabit dan pemeriksaan yang dilakukan pada kira-kira 9.45 malam, menemukan empat beg pakaian dan satu kotak yang di dalamnya mengandungi 98 peket bungkusan teh Cina mengandungi serbuk kristal disyaki syabu.
Beliau berkata setiap bungkusan teh tersebut dianggarkan seberat satu kilogram manakala bot gentian dengan satu enjin Yamaha 25 kuasa kuda terbabit dianggarkan bernilai RM12,000.
Katanya rampasan terbabit merupakan kejayaan kali keenam rampasan dadah dan terbesar oleh APMM Johor, tahun ini, dengan keseluruhan nilai rampasan dadah bernilai RM8.18 juta.
“Kita percaya kesemua dadah jenis syabu ini sedang dalam perjalanan untuk dihantar kepada pihak lain di sempadan perairan negara untuk memenuhi pasaran jiran,” katanya.
Menurut Kamaruszaman, pihaknya sedang menyiasat sama ada rampasan tersebut ada kaitan dengan tangkapan dadah jenis methamphetamine dan ekstasi bernilai RM10.53 juta di Pulau Pinang pada 3 Disember lepas memandangkan kedua-dua rampasan dadah terbabit dibungkus menggunakan bungkusan yang hampir sama.
Kes berkenaan katanya kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
— Bernama