APMM menahan 27 nelayan Vietnam dan dua bot menangkap ikan

APMM menahan 27 nelayan Vietnam dan dua bot menangkap ikan

KUALA TERENGGANU,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan 27 nelayan Vietnam dan dua bot ketika sedang menangkap ikan di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kedua-dua bot itu ditahan oleh KM (Kapal Maritim) Langkawi yang sedang melakukan rondaan Op Khas Naga Barat pada jarak 100 dan 101 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.27 malam Sabtu.

“Selain nombor pendaftaran dipadam, pemeriksaan ke atas kedua-dua bot mendapati 27 kru termasuk tekong warga Vietnam, berusia 18 hingga 50 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Turut dirampas hasil tangkapan laut, diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dan bot tersebut dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 ekoran tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )