Apple lancar produk baharu, AirTag tarikan utama

PENGELUAR gajet popular, Apple melancarkan beberapa produk baharu dalam satu pengumuman pada awal pagi Rabu yang berlangsung selama sejam. Beberapa produk baru yang dilancarkan ialah seperti iMac, iPad Pro, iPhone 12, AirTag dan Apple TV 4K yang datang dengan pilihan lebih warna-warni dan dilaporkan lebih pantas.

iMac yang terkini didatangkan dalam tujuh warna baru, skrin yang lebih nipis dengan cip pemprosesan M1. Manakala kemas kini untuk iPhone 12 termasuk cip lebih pantas, sambungan 5g dan didatangkan dengan warna baru iaitu warna ungu.

iPad Pro terkini turut dilengkapi dengan sambungan 5G, cip M1 dan lebih banyak pilihan warna.

AirTag
Setelah bertahun-tahun desas-desus mengenainya, Apple akhirnya secara rasmi mengumumkan kehadiran AirTag. Ia adalah aksesori yang boleh dilekatkan kepada apa-apa perkakasan seperti kunci, dompet dan beg untuk mengesan lokasi jika ia hilang.

AirTag ini akan mula dipasarkan pada 30 April dan memerlukan IOS 14. 5 ke atas, yang dijangka mula tersedia untuk pengguna minggu depan. Harga AirTag bervariasi akan dipasarkan bermula dari harga sekitar AS$29 atau RM120 untuk satu unit.

AirTag tidak menggunakan bateri yang boleh dicaj, sebaliknya, pengguna harus menggantikan bateri apabila perlu. Bagaimanapun, tidak diketahui lagi sama ada ia datang bersama casing atau dijual secara berasingan.

Setiap AirTag memiliki speaker internal untuk membantu pengguna mengesan barang yang hilang, dan pengguna boleh meletakkan ukiran nama atau emoji jika membelinya secara dalam talian.

Apple TV 4K
Apple turut mengumumkan pembaharuan besar untuk Apple TV 4K yang pertama kali dilancarkan pada tahun 2017. Pembaharuan itu antara lain Apple TV 4K terbaru disokong dengan cip A12 Bionic Apple.
Pelanggan boleh menggunakan iPhone untuk penstriman kepada TV dengan hanya meletakkan kamera di hadapan TV dan secara automatik akan berkalibrasi dengan apa yang anda tonton.

Malah Apple TV akan mengoptimakan warna dan kualiti gambar. Rekaan alat kawalan Apple TV juga berwajah baharu dengan menggunakan remote touch pad seperti iPod.

Akibat daripada arahan sekatan yang diumumkan untuk mengekang COVID-19, produk Apple dan peranti digital jenama lain mendapat permintaan tinggi untuk penuhi tuntutan kerja dan belajar di rumah.

Ini meningkatkan nilai pasaran Apple kepada sekitar AS$2.2 trillion, dua kali ganda lebih besar daripada sebelum pandemik COVID-19.

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )