Aramco sasar operasi runcit di Malaysia, Asia Tenggara

Aramco sasar operasi runcit di Malaysia, Asia Tenggara

DHAHRAN (ARAB SAUDI),. Saudi Aramco (Aramco), salah satu syarikat tenaga dan bahan kimia bersepadu terbesar dunia, berhasrat mengembangkan aktiviti hilirannya di Malaysia sejajar dengan sasaran untuk menjadikan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor sebagai hab terbesar di Asia Tenggara.

Ketika berkongsi hasrat itu, Presiden (Hiliran) Aramco Mohammed Y. Al Qahtani berkata selain teruja dengan projek di Pengerang, syarikat berkenaan juga berharap untuk tidak hanya kekal beroperasi tetapi turut membabitkan potensi pengembangannya di masa depan.

Ditanya sama ada syarikat yang telah bertapak selama 90 tahun itu turut mempertimbang operasi peruncitan di Asia Tenggara, beliau berkata aspek berkenaan sememangnya sedang diusahakan oleh Aramco di peringkat global.

“Kami sentiasa meneliti aset-aset yang ada untuk melihat sebarang potensi bagi tujuan peningkatan, pengembangan dan paling penting usaha bagi menukar cecair kepada bahan kimia.

“Itulah perkara yang kami nilai dari segi prospek untuk masa depan,” katanya dalam temu bual dengan BERNAMA dan wakil media terpilih dari China, Korea Selatan dan Jepun, di ibu pejabat Aramco di sini.

Dalam pada itu, mengulas tindakan Aramco mengambil alih 100 peratus ekuiti Esmax, peruncit bahan api dan pelincir hiliran terkemuka Chile, Mohammed menyifatkannya sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengembangkan perniagaan runcit, pelincir dan perdagangan di serata dunia.

Malah, katanya, pengambilalihan itu akan membolehkan Aramco memasuki pasaran runcit Amerika Selatan memandangkan aktiviti segmen hiliran syarikat merangkumi penapisan petrokimia, minyak asas dan pelincir, operasi runcit, pengedaran, bekalan serta perdagangan dan penjanaan tenaga.

Pada masa sama, kesemua aktiviti berkenaan menyokong operasi huluan dan hiliran Aramco dengan membolehkan pengoptimuman jualan minyak mentah serta tawaran produk menerusi rangkaian infrastruktur saluran paip dan terminal penting selain akses ke atas sumber penghantaran dan logistik.

Menyentuh PIC yang dibangunkan bersama syarikat Malaysia, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Mohammed berkata fasiliti itu beroperasi dengan potensi sepenuhnya selain meningkatkan kebolehpercayaan dan keuntungan serta memberi jaminan dari segi platform yang tepat untuk pertumbuhan pada masa depan.

Dalam lawatan ke Riyadh pada Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Aramco komited dalam usaha memperluas fasilitinya di Pengerang itu dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia serta gas untuk muncul sebagai hab terbesar di Asia Tenggara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata komitmen itu telah dinyatakan kepada beliau oleh Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H Nasser.

Syarikat itu telah bekerjasama dengan Petronas bagi menubuhkan Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, di Pengerang, dengan usaha sama itu membabitkan pelaburan AS$7 bilion.

PIC mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tong minyak mentah sehari dan menghasilkan rangkaian produk petroleum bertapis, termasuk bahan api jet bersulfur rendah, gasolin dan diesel yang menepati spesifikasi Euro 5.
Saudi Aramco yang beribu pejabat di Dhahran, mempunyai kira-kira 197 bilion tong simpanan minyak mentah dan pada masa ini disokong oleh kira-kira 70,000 pekerja di peringkat global.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)