Artifak, syiling lebih 900 tahun ditemui di Pulau Melaka

Artifak, syiling lebih 900 tahun ditemui di Pulau Melaka

MELAKA,. Beberapa serpihan artifak dan syiling dipercayai berusia lebih 900 tahun yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Dinasti Song, Yuan dan Ming, ditemukan di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir di sini.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata serpihan kayu dipercayai rangka kapal dagang karam yang digunakan pada zaman itu turut ditemukan di lokasi yang sama.

Beliau berkata kesemua bahan itu ditemukan di kawasan yang dikelilingi belukar dan lalang, secara berasingan dan berperingkat dalam tempoh dua tahun lepas oleh orang awam, termasuk kaki pancing sebelum dilaporkan kepada pihak JWN.

“Antara artifak penting yang ditemui iaitu mata wang Kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud iaitu antara tahun 1488 hingga 1511, pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Song, Yuan dan Ming, mata wang Portugis dan Belanda jenis VOC atau Syarikat Hindia Timur Belanda.

“Penemuan bahan-bahan ini dipercayai ekoran perubahan aras air dan kerja-kerja penambakan laut di sekitar Pulau Melaka sehingga menyebabkan artifak itu terlihat di permukaan lumpur dan daratan,” katanya kepada pemberita di tapak penemuan artifak berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Pengurus Besar Perzim Drs Mohd Nasruddin Rahman, Ketua Penyelidik Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Rozairy Arbi.

Sementara itu Mesran berkata kawasan berkenaan akan ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja ekskavasi oleh Perzim dan JWN kerana pihaknya percaya lebih banyak lagi penemuan artifak seumpama itu akan ditemui di sekitar kawasan berkenaan.

“Saya menyeru kepada semua pihak supaya membuat laporan kepada JWN bagi apa jua penemuan supaya kita dapat mematuhi Akta Warisan Kebangdaan 2005 (Akta 645), kerana adalah menjadi satu kesalahan sekiranya sebarang penemuan tidak dilaporkan kepada Peruruhjaya Warisan atau pegawai daerah,” katanya.

Sementara itu, Dionysius berkata peralatan khas seperti ‘ground-penetrating radar’ (GPR) digunakan bagi mengesan rangka atau serpihan lain artifak dan rangka kapal yang mungkin berada di bawah tambakan pasir itu.

“Setakat ini kebanyakan artifak, syiling dan serpihan rangka kapal ditemui di permukaan iaitu di atas tanah namun kita yakin terdapat lebih banyak lagi di bawah tanah dan mungkin ada artifak yang masih elok seperti seramik pada zaman tersebut,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)