Artis antara yang hubungi talian COVID-19 dikendali MOTAC

Artis antara yang hubungi talian COVID-19 dikendali MOTAC

KUALA LUMPUR,. Urusan berkaitan sektor perhotelan mencatatkan aduan tertinggi yang direkodkan daripada keseluruhan 111 panggilan diterima Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Call Center COVID-19 yang mula diaktifkan sejak 19 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihak kementerian turut menerima panggilan dalam kalangan penggiat seni termasuk persatuan artis serta ‘buskers’ yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi.

“Daripada keseluruhan 111 aduan, sektor perhotelan merekodkan sebanyak 40 kes atau mewakili 36 peratus, diikuti urusan berkaitan pelesenan pelancongan (11 peratus).

“Selain itu, masing-masing tiga aduan atau dua peratus membabitkan syarikat pelancongan dan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) serta isu berkaitan seni dan budaya, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Nancy mengadakan lawatan ke Call Centre COVID-19 yang beroperasi di Aras 15, MOTAC dari jam 8.00 pagi hingga jam 12.00 malam.

Yang turut hadir pada lawatan itu ialah Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamad.

Call Centre COVID-19 MOTAC beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan boleh dihubungi di talian 03-88917189 atau emel di [email protected].

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan industri pelancongan dan kebudayaan menerusi soalan lazim (FAQ) di laman rasmi MOTAC iaitu www.motac.gov.my

Pada masa sama, Nancy berkata, ada juga sebahagian aduan atau isu yang diterima daripada talian itu iaitu mewakili 38 peratus, kurang berkaitan dengan bidang kuasa MOTAC namun mempunyai asas penting keselamatan seperti imigresen, pengangkutan dan isu COVID-19.

Katanya, meskipun tidak berkaitan dengan bidang kuasa MOTAC namun ia mendapat perhatian pihak kementerian untuk dipanjangkan kepada pengurusan tertinggi seterusnya ke pengetahuan Kabinet untuk membantu penggiat industri yang terjejas.

“Aduan yang bukan di bawah bidang kuasa MOTAC akan dipanjangkan kepada kementerian yang relevan untuk tindakan lanjut, ” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)