ASEAN, New Zealand perlu terus kukuhkan kerjasama perangi keganasan: Muhyiddin
KUALA LUMPUR,. ASEAN dan New Zealand perlu meneruskan usaha mengukuhkan kerjasama dan kolaboratif dalam mendepani cabaran getir pascapandemik, termasuk berkaitan aspek keselamatan dan keganasan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ketika tumpuan diberikan dalam mengatasi cabaran itu, kerjasama dan kesepakatan lebih komprehensif juga diperlukan untuk menangani ancaman keselamatan, terutamanya berkaitan migrasi, keselamatan siber serta keganasan dan ekstremisme.
“Kita mesti sentiasa berwaspada terhadap ancaman keganasan. Banyak aktiviti pengganas dan jenayah menjadi semakin subversif, mengambil peluang dalam keadaan ramai orang menghabiskan banyak masa di rumah, mengakibatkan penyebaran propaganda dalam talian,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand pada Sabtu.
Justeru, beliau berkata semua pihak perlu tetap komited menangani ancaman pengganas dan memastikan akar umbi kepada masalah itu dapat dihapuskan selain memperkukuh dasar serta kerangka undang-undang dan penguatkuasaan.
Turut serta pada sidang kemuncak secara maya itu Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern. New Zealand menjadi Rakan Dialog ASEAN bermula pada 1975.
Muhyiddin turut memuji kepemimpinan Arden dan kerajaan New Zealand atas tindakan pantas dalam mengendalikan insiden serangan di Christchurch pada Mac 2019.
Serangan di masjid Al Noor dan Linwood di bandar itu meragut 51 nyawa dan mencederakan 49 yang lain. Tiga rakyat Malaysia turut cedera.
Di samping itu Perdana Menteri menyeru ASEAN dan New Zealand turut meningkatkan kerjasama mengenai rantaian bekalan global.
“Dalam mengurangi kesan ekonomi ditimbulkan COVID-19, ASEAN dan New Zealand perlu bersama-sama berikhtiar ke arah pemulihan ekonomi yang cepat, dengan memanfaatkan peluang yang ada, meningkatkan daya tahan dan mempertahankan pasaran terbuka,” tambahnya.
Muhyiddin berkata, ASEAN dan New Zealand juga perlu meningkatkan kerjasama dalam isu seperti alam sekitar dan perubahan iklim.
“Ketika saat penuh mencabar dan sukar ini, sangat penting bagi ASEAN dan New Zealand mengukuhkan kerjasama ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik untuk kesejahteraan rakyat,” ujar Perdana Menteri.
— Bernama