ASEAN perlu jadi lebih kuat untuk capai tahap pelancongan berkualiti, mampan – Sandiaga Uno

ASEAN perlu jadi lebih kuat untuk capai tahap pelancongan berkualiti, mampan – Sandiaga Uno

JOGJAKARTA,. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu menjadi lebih kuat dalam menempuh fasa pemulihan pandemik COVID-19 agar dapat mencapai tahap pelancongan yang berkualiti dan mampan.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno berkata memandangkan blok serantau ini menyediakan persekitaran yang stabil, aman dan kesalinghubungan, adalah mustahak jika mesej bangkit menjadi lebih kuat dibuat kepada masyarakat dunia.

“Walaupun terdapat begitu banyak ketidaktentuan, ketidakstabilan, dan kerumitan dari segi situasi pasca-pandemik, kita sememangnya pusat pertumbuhan.

“Kita kaya dengan alam semula jadi dan budaya. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk pulih bersama-sama, terutamanya dalam aspek kualiti dan pelancongan yang mampan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-26 Menteri Pelancongan ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan (ATMM26) di sini, pada Ahad.

Mesyuarat itu diadakan di luar Forum Pelancongan ASEAN 2023 (ATF 2023) yang berlangsung selama lima hari dan berakhir semalam.

“Bermula daripada Forum Pelancongan ASEAN 2023, kita perlu (juga) menjadi lebih inklusif, menggalakkan penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perwakilan wanita dalam sektor pelancongan dan penyertaan generasi muda.

Sudah tentu, kita juga perlu mencipta peluang pekerjaan berkualiti,” katanya menjawab soalan mengenai mesej yang ingin disampaikan Indonesia kepada dunia melalui ATF2023, khususnya hampir tiga tahun selepas pandemik COVID-19.

Senada dengan Sandiaga, Timbalan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam Doan Van Viet berkata negara-negara anggota harus terus mempromosikan ketersambungan, serta memudahkan prosedur dan dasar dari segi visa.

“Mengenai fasa pasca-pandemik, tidak syak lagi bahawa ASEAN harus mengikuti dan meneruskan strategi semasa ke arah membangunkan aktiviti pelancongan di rantau ini. Kita juga harus mempertimbangkan untuk membuat pelarasan berhubung situasi terkini.

“Keterhubungan adalah penting untuk mempromosikan pasaran kita kepada dunia, serta visa. Dengan mempromosikan nilai budaya sebenar bagi setiap negara anggota, ia akan membantu kita mencapai hasil yang baik dalam sektor pelancongan bersama-sama,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Kebudayaan, Penerangan dan Pelancongan Laos, Suanesavanh Vignaket dan Setiausaha Jabatan Pelancongan Filipina Christina Garcia Fasco.

Bertemakan “ASEAN: A Journey to Wonderful Destinations”, ATF 2023 ialah acara pelancongan terbesar di rantau ini yang bertujuan membangunkan destinasi pelancongan serantau dan antarabangsa, serta mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

Indonesia, selaku pengerusi ASEAN 2023, pernah berkhidmat sebagai Pengerusi ASEAN pada 2011, 2003, 1996 dan 1976.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)