ASEAN perlu tangani punca fizikal, politik isu kebakaran hutan, jerebu – pensyarah

ASEAN perlu tangani punca fizikal, politik isu kebakaran hutan, jerebu – pensyarah

KUALA LUMPUR,. Cara terbaik untuk meminimumkan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin teruk di rantau ASEAN adalah dengan menangani punca fizikal dan politik berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya Dr Helena Varkkey berkata visi ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 banyak bergantung kepada iltizam politik Indonesia untuk menangani kebakaran di dalam negara itu secara berkesan dan menerima bantuan tepat pada waktunya.

Dalam masalah jerebu merentas sempadan yang sedang melanda, Indonesia dilihat keberatan untuk menerima bantuan daripada Malaysia.

“Kita tidak pasti sekiranya akan berlaku satu lagi pusingan kebakaran besar pada tahun depan. Bagaimanapun, sama ada ini akan mengakibatkan jerebu di rantau ini akan banyak bergantung pada usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, yang diharapkan dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila kebakaran yang sedang berlaku dipadamkan sepenuhnya.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa tahun bebas jerebu rentas sempadan, malah sekiranya 2020 adalah bebas jerebu, tidak bermakna tahun berikutanya juga akan bebas jerebu,” katanya dalam temuramah dengan Bernama menerusi e-mel.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawsan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi rantau ini.

Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka.

Sementara itu, jerebu rentas sempadan daripada kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera telah menyebabkan ratusan sekolah di Sarawak dan Johor ditutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara, Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara di beberapa daerah di dua negeri itu mencatatkan paras sangat tidak sihat.

Bagaimanapun kerajaan Indonesia sekali lagi enggan menerima kesalahan itu, mendakwa asap jerebu yang menjejaskan Kuala Lumpur berpunca dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ia menolak aduan Malaysia berhubung asap bahaya yang berpunca daripada kebakaran hutannya yang merebak merentas sempadan, menyatakan kebakaran turut berlaku di bahagian Malaysia dan ladang milik Malaysia di Indonesia.

Varkkey berkata saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan membantu, berikutan Presiden Joko Widodo, sejak beberapa tahun lepas, menyatakan bahawa walaupun berlaku kebakaran hutan di Indonesia, ini tidak menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Namun, Malaysia bergantung pada data serantau Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang menunjukkan kebanyakan asap itu datang dari Indonesia.

“Bagaimanapun, kita juga perlu mengakui bahawa kita juga mempunyai beberapa kejadian kebakaran di kawsan kita, walaupun ia tidak sebesar yang berlaku (di Indonesia’s) — ini tidak patut diketepikan.

“Juga terdapat isu berterusan mengenai latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia yang juga mungkin mempunyai peranan dalam pembersihan hutan yang secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kebakaran,” kata Varkkey.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu melihat lebih jauh daripada saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung puncanya, dan sebaliknya perlu memberi tumpuan pada mencari penyelesaiannya — melaksanakan kerjasama berkesan dalam aktiviti pencegahan, dan segera menyelaraskan bantuan rentas sempadan pada peringkat awal kebakaran.

Satu contoh aktiviti pencegahan itu adalah melaksanakan semula inisiatif dalam memorandum persefahaman lama antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran, kata Varkkey.

Beliau berkata keadaan di kawasan terbabit juga amat bergantung pada keadaan cuaca seperti El Nino dan angin Monsun yang menyebabkan kemarau dan angin yang meniupkan asap ke jarak jauh dan meluas dan pada tahun tertentu cuaca adalah baik.

Untuk mencapai rantau bebas jerebu, negara anggota ASEAN perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut, sama ada yang masih asli atau sudah dibangunkan, kekal berair dan tidak mudah terbakar; melindungi hutan sensitif daripada ditebang; dan mengawal ketat penggunaan cara pembakaran bagi pertanian dan perladangan.

Varkkey berkata penyelesaian jangka pendek seperti penggunaan penutup mulut dan hidung mungkin membantu dalam mengurangkan kerengsaan dan mungkin menjadikan orang lebih berani untuk keluar bekerja dan menjalankan aktiviti seperti biasa, tetapi kebanyakan penutup mulut dan hidung tidak mampu menghalang zarah kecil daripada menyerap masuk yang berbahaya kepada kesihatan untuk jangka panjang.

“Dari segi lebih menyeluruh, kos kesihatan semakin meningkat dalam kalangan populasi. Lebih banyak perbelanjaan tidak dijangka digunakan untuk pergi ke klinik dan hospital, serta untuk mendapatkan ubat di farmasi.

“Hari bekerja tenaga kerja hilang kerana cuti sakit yang diambil, atau jika kanak-kanak sakit, ibu bapa perlu mengambil cuti untuk menjaga mereka. Ini bermakna penurunan produktiviti di semua sektor,” katanya.

Secara menyeluruh, Varkkey berkata kesan terhadap ekonomi akan bergantung kepada betapa teruknya jerebu, dan berapa lama ia berlarutan.

Beliau menegaskan kesannya tidak mudah untuk ditaksirkan dan biasanya kuantitinya hanya dapat diketahui selepas masalah jerebu berakhir.

Sektor pertanian mungkin turut terjejas, sekiranya jerebu berpanjangan untuk tempoh lama, kerana tanaman akan terjejas berikutan kadar fotosintesis berkurangan.

— BERNAMA

Oleh Siti Radziah Hamzah

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )