ASNB isytihar pembayaran agihan pendapatan RM1.55 bilion

ASNB isytihar pembayaran agihan pendapatan RM1.55 bilion

KUCHING,. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Pemodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan berjumlah RM1.55 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 untuk lima dana.

Dana-dana tersebut adalah dua dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) serta tiga dana harga berubah-ubah iaitu ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1.

PNB menerusi kenyataan berkata, ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM488.2 juta yang memanfaatkan 459,416 pemegang unit dengan pegangan 11.5 bilion unit.

Manakala ASM mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM851.2 juta yang memanfaatkan 559,222 pemegang unit dengan pegangan 21.3 bilion unit.

“Sehingga 25 Mac 2021, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM499.0 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM727.6 juta.

“Prestasi ASB 2 dan ASM ditanda aras berbanding Deposit Tetap 12 Bulan Maybank di mana bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, ASB 2 dan ASM masing-masing telah mencatatkan pulangan tahunan sebanyak 4.25 peratus dan 4.00 peratus berbanding dengan 1.95 peratus yang dicatat Deposit Tetap 12 Bulan Maybank,” katanya.

Sementara itu, ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 masing-masing mencatatkan pulangan dua digit sebanyak 18.7 peratus, 17.0 peratus dan 10.8 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 yang didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti daripada prestasi terendah pada tahun 2020.

Kedua-dua kadar pulangan tersebut ditanda aras berban-ding Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, pada nisbah yang disesuaikan untuk setiap dana.

Dalam tempoh yang sama, FBM KLCI mengukuh dari 1,351 mata ke 1,598 mata sebanyak 18.27 peratus berikutan peningkatan sentimen dengan pelancaran program vaksinasi di peringkat global dan jangkaan pemulihan ekonomi global.

Dengan pulangan ini ASNB mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM76.4 juta bagi ASN Equity, iaitu 3.53 sen seunit kepada 86,306 pemegang unit dengan pegangan 2.2 bilion unit.

Manakala ASN Imbang 2 mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM45.4 juta iaitu 3.11 sen seunit kepada 85,147 pemegang unit dengan pegangan 1.5 bilion unit.

ASN Sara 1 pula mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak RM91.8 juta iaitu 3.52 sen seunit kepada 85,776 pemegang unit dengan pegangan 2.6 bilion unit.

Pulangan ini mewakili hasil dividen antara 3.15 peratus hingga 3.95 peratus untuk setiap dana berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) masing-masing pada 25 Mac 2021.

“Walaupun pandemik COVID-19 mewujudkan pelbagai cabaran, PNB akan terus melaksanakan strategi kepelbagaiannya dengan me-ningkatkan pelaburan dalam pasaran global dan kelas-kelas aset lain seperti hartanah, pelaburan swasta dan instrumen pendapatan tetap.

“PNB akan terus kekal fokus terhadap pelaksanaan pelan strategiknya dalam membina portfolio yang mampan dan berdaya tahan dari segi kewangan,” kata PNB.

Jelas PNB, pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

Manakala pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Equity 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1 adalah berdasarkan baki minimum bulanan yang dipegang pada hujung tahun.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik kepada akaun pemegang unit pada 1 April 2021.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara bagi kelima-lima dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 24 hingga 31 Mac 2021 bagi membantu proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal my ASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperosi semula pada 1 April 2021.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )