ASNB umumkan agihan pendapatan untuk tiga dana

ASNB umumkan agihan pendapatan untuk tiga dana

KUALA LUMPUR,. Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), sebuah syarikat dana amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mengumumkan agihan pendapatan sebanyak lima sen untuk Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3), 3.75 sen bagi ASN Ekuit 5 dan 4.20 sen untuk ASN Sara 2 (aset campuran konservatif) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2019.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata ASM 3 akan membayar jumlah agihan pendapatan sebanyak RM670.5 juta kepada 496,705 pemegang unit yang menguasai lebih daripada 13.6 bilion unit manakala RM15.1 juta untuk ASN Ekuiti 5 dan RM 46.6 juta bagi ASN Sara 2.

“PNB berasa sukacita apabila usaha untuk mempercepatkan kepelbagaian aset kami, termasuk pendedahan yang lebih besar kepada aset global, bagi mengurangkan cabaran dalam pasaran ekuiti domestik telah mengukuhkan prestasi ketiga-tiga dana berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun dengan keadaan pasaran semasa, PNB terus menyaksikan peningkatan bilangan unit dalam edaran merentasi 14 dana, dengan ASN Sara 2 berjaya menarik 27,804 pemegang unit yang melanggan 1.1 bilion unit hanya setahun selepas dilancarkan.

“Ini mencerminkan keyakinan pemegang unit terhadap PNB, yang menyebabkan kami akan sentiasa berusaha untuk meneruskan,” katanya.

Zeti menambah dua dana dengan harga yang boleh berubah-ubah, ASN Ekuity 5 dan ASN Sara 2 yang diperkenalkan pada tahun lepas, adalah bagi memenuhi kategori pelabur yang berbeza dengan pelbagai jenis selera.

“ASN Ekuiti 5 adalah dana pertumbuhan ekuiti yang memenuhi keperluan pelabur generasi muda yang bermatlamat untuk meningkatkan pertumbuhan modal dan nilai bersih, yang juga berminat bagi menjana peningkatan modal yang munasabah dan agihan pendapatan melalui pelbagai portfolio pelaburan.

“Sementara itu, ASN Sara 2 merupakan dana konservatif aset campuran yang disesuaikan untuk pelabur yang lebih matang dan pelabur yang suka mengelak risiko tetapi menggemari aliran pendapatan yang stabil dengan potensi pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )