Atlet menembak dinobat olahragawan, olahragawati TLDM 2023

Atlet menembak dinobat olahragawan, olahragawati TLDM 2023

KUALA LUMPUR,. Atlet menembak Bintara Muda PAP Mohd Azlan Md Salleh dan Leftenan Nur Suryani Mohamed Taibi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2023 pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan TLDM pada Ahad.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua atlet berkenaan masing-masing menerima trofi dan hadiah wang tunai RM3,000 daripada Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob pada majlis yang berlangsung di Auditorium M. Sidek Shabudin, Pangkalan TLDM Lumut Perak.

Menurut kenyataan itu pemilihan mereka adalah berdasarkan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan termasuk kesungguhan dan komitmen di luar kebiasaan serta kemampuan dalam menghasilkan prestasi yang membanggakan perkhidmatan.

“Turut dinobatkan Bintara Kanan PAP Mohd Khairil Hafiz Mohd Zanggi daripada sukan bola sepak sebagai Jurulatih Sukan Terbaik TLDM 2023, manakala Persatuan Bola Sepak dan Futsal TLDM masing-masing merangkul Anugerah Persatuan Sukan Terbaik TLDM 2023 dan Anugerah Khas Pencapaian Luar Jangkaan 2023,” menurut kenyataan itu.

TLDM memaklumkan majlis itu turut dianjurkan sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang atlet yang berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ISG) untuk kali ke-14 berturut-turut dan sambutan Jubli Emas Lembaga Kawalan Sukan TLDM (LEKAS) yang ditubuhkan pada 1974.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berbangga dengan pencapaian TLDM dalam kejohanan ISG dan Sukan SEA ke-32 di Kemboja tahun lepas serta menyeru agar setiap program yang dianjurkan LEKAS dijadikan lebih berimpak tinggi dan meningkatkan kolaborasi bersama agensi lain untuk kebaikan bersama.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)