Audit: Ketua jabatan perlu ambil tindakan tegas terhadap pegawai lakukan kesalahan

Audit: Ketua jabatan perlu ambil tindakan tegas terhadap pegawai lakukan kesalahan

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ketua Jabatan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau salah urus tadbir yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 pada Selasa lepas.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE) Datuk Seri Akhbar Satar berkata tindakan itu juga bakal menjadi satu amaran selain pengajaran buat pegawai lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

“Tindakan itu juga akan menjadi satu pengajaran buat pegawai-pegawai lain supaya tidak mengikuti apa-apa kesalahan terutamanya daripada segi prosedur pemberian kontrak dan sebagainya,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam ini.

Sebanyak 12 pengauditan prestasi bernilai RM742.476 bilion dilaksanakan sempena LKAN 2018 Siri 3 melibatkan program, aktiviti dan projek di 10 kementerian dengan 63 syor dikemukakan terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil.

Jabatan Audit Negara (JAN) sempena LKAN 2018 Siri 3 juga telah melakukan pengauditan prestasi terhadap 17 program, aktiviti dan projek yang melibatkan 22 jabatan dan agensi kerajaan negeri; serta 13 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan negeri yang melibatkan 12 negeri kecuali Perlis.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )