Australia harap dapat lihat kemajuan positif berkaitan RCEP menjelang akhir tahun

Australia harap dapat lihat kemajuan positif berkaitan RCEP menjelang akhir tahun

KUALA LUMPUR,. Pesuruhjaya Tinggi Australia Andrew Goledzinowski berharap akan dapat melihat kemajuan positif dalam konklusi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) antara kalangan negara anggotanya menjelang akhir tahun ini.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking pada September bahawa keutamaan Malaysia adalah untuk memuktamadkan rundingan RCEP yang membabitkan 10 negara anggota ASEAN – Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam – serta enam rakan kongsinya dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan India.

“Ia akan menjadi perjanjian perdagangan terbesar di dunia jika ia boleh dimuktamadkan. Dan kami berharap ia akan dimuktamadkan pada tahun ini,” katanya kepada Bernama sebelum menjadi tetamu dalam rancangan bual bicara ‘The Nation’ yang diterbitkan oleh Bernama News Channel di Saluran 502 Astro pada Rabu.

Rundingan RCEP telah dilancarkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 pada November 2012 di Phnom Penh.

Pakatan perdagangan itu terdiri daripada populasi berjumlah 3.4 bilion orang dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$49.5 trilion, atau kira-kira 39 peratus KDNK dunia.

Perjanjian itu mungkin ditandatangani tahun depan jika rundingan boleh dimuktamad dalam satu mesyuarat pada bulan November tahun ini di Bangkok.

Sementara itu, mengulas perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, Goledzinowski berkata Malaysia dan mana-mana negara lain tidak akan mendapat manfaat daripada perang perdagangan antara dua gergasi ekonomi itu dalam jangka panjang.

“Apa-apa yang mengganggu perdagangan global dalam skala sedemikian, pada akhirnya mungkin akan menyakitkan semua orang.

“Malaysia adalah sebuah negara yang amat terdedah dengan perdagangan, ia adalah sebuah negara perdagangan… bagi anda (Malaysia) dalam tempoh lebih lama, menyelesaikan perang perdagangan itu adalah penyelesaian yang lebih baik. Semua orang ingin melihat ia diselesaikan,” katanya.

— BERNAMA

Oleh Tengku Faezah Tengku Yusof

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)