BAC 2023: Aaron-Wooi Yik tersingkir daripada saingan

BAC 2023: Aaron-Wooi Yik tersingkir daripada saingan

KUALA LUMPUR,. Hasrat beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit menampilkan prestasi sebenar selepas beraksi hambar dalam kejohanan musim ini terbantut selepas ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Kredibiliti pasangan nombor dua dunia dan Juara Dunia itu tercalar selepas tewas di tangan pasangan nombor 14 dunia dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin dalam perlawanan yang diheret ke set penentuan di Dewan Tertutup Sheikh Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr di Dubai.

Aaron-Wooi Yik pada mulanya mendominasi perlawanan seawal set pertama dengan mencatatkan kemenangan 21-14.

Bagaimanapun, pihak lawan yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 bangkit menghalang kemaraan Aaron-Wooi Yik dan memenangi set seterusnya 16-21 dan 19-21 dalam pertarungan selama 47 minit.

Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga gandingan kelapan dunia, terpaksa bergelut dalam pertarungan tiga set berdepan gandingan Jepun Ayato Endo-Yuta Takei sebelum berjaya menempah slot suku akhir BAC.

Yew Sin-Ee Yi tewas 10-21 set pertama sebelum bangkit 21-15 dan 22-20 bagi menoktahkan kemenangan serta bakal berdepan ujian getir di suku akhir apabila dijadual bertemu beregu nombor satu dunia dari Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)