Bahasa Arab dan Prospeknya di Malaysia

Oleh :
Dr Mohd Nizwan Musling

Bahasa Arab (BA) sangat sinonim dengan agama Islam sebagai bahasa Al-Quran. Walhal ianya sudah lama digunakan oleh masyarakat Arab sejak sebelum Islam datang lagi yang dianggarkan usianya (Bahasa Arab baku, bukan dailek) 150 tahun sebelum Islam. Secara rumpun bahasanya pula, ia tergolong dalam Bahasa Semitik dan dengan turunnya Al-Quran dengan kepelbagaian Qiraatnya, BA mampu mengekalkan kebanyakan ciri utama rumpunnya berbanding yang lain, iaitu I’rab (infleksi) yang merujuk kepada perubahan keadaan atau baris akhir perkataan mengikut ‘faktor’, kedudukan atau fungsi sintaksisnya dalam ayat.

BA Bahasa Rasmi ke-6 PBB

BA antara bahasa yang paling ramai penuturnya dianggarkan lebih 400 juta. Melihat kepada peranan dan jumlah penggunanya yang sangat ramai dalam populasi penduduk dunia, tanggal 18 Disember 1973, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyarankan BA sebagai bahasa rasmi ke-6 bagi PBB, setelah lima bahasa yang lain iaitu: Bahasa Perancis, Inggeris, Cina, Rusia dan Sepanyol. Sesungguhnya keputusan ini adalah hasil usaha bersama negara-negara Kesatuan Arab terutamanya negara Moroko dan Arab Saudi sehingga dibenarkan BA digunakan secara lisan dalam sesi Perhimpunan Agung PBB bermula pada September 1973.

Kemudian, mengambil sempena tarikh bersejarah tersebut, pada Oktober 2012, Lembaga Eksekutif UNESCO telah memilih tarikh 18 Disember sebagai Hari Bahasa Arab Sedunia. Maka 18 Disember 2012 merupakan sambutan kali pertama bagi Hari BA Sedunia. Pelbagai aktiviti dan program diaturkan saban tahun bagi memperingati sambutan hari BA sedunia ini. Kini memasuki sambutannya bagi tahun ke-8, tema “Arabic Language Academies: Necessity or Luxury?” telah dipilih. Tema ini dipilih bagi memikirkan semula dimanakah dan bagaimanakah peranan sebenar yang boleh dimainkan oleh Dewan-Dewan BA bagi melihat semula kedudukan sebenar BA kini terutamanya BA Fusha (standard/baku) bukan BA pasar atau dailek, jika ingin dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Perancis yang lebih diutamakan dalam penggunaan. Ini bagi memastikan BA Fusha akan terus dituturkan sebagai bahasa komunikasi harian selain urusan rasmi dan bahasa ilmu apatah lagi dalam dunia teknologi yang semakin berkembang dari semasa ke semasa.

BA di Universiti Malaysia

Jika dilihat dalam konteks pendidikan tinggi di Malaysia pula, Bahasa Arab mendapat tempat yang semakin memberangsangkan yang bukan sahaja diajar sebagai kursus elektif bahasa sebagai bahasa asing, bahkan terdapat banyak program-program pengkhususan Bahasa Arab bermula di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah. Program-program yang ditawarkan juga turut bertambah mengikut citarasa dan keperluan negara. Sebagai contoh, Universiti Sains Islam Malaysia kalau dahulunya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, kini telah menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam. Di peringkat sarjana pula, terdapat juga program baharu iaitu Sarjana Bahasa Arab (Terjemahan) dan Sarjana Bahasa Arab (Kesusasteraan Islam), di samping membuka peluang yang lebih luas pengkhususan dalam peringkat kedoktoran iaitu Pengajian Bahasa Arab. Universiti-universiti lain juga turut memperkenalkan program-program pengkhususan berkaitan BA yang tampak unik dan praktikal seperti Universiti Malaysia Kelantan yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Keusahawanan.

Harapan BA

Diharapkan dengan kepelbagaian program Bahasa Arab di Malaysia ini dapat meningkatkan kedudukan BA Fusha sebagai bahasa ilmu melalui wacana ilmiah, penerbitan karya buku kajian dan artikel jurnal berindeks dalam Bahasa Arab. Ini di samping perlunya pemerkasaan penguasaan dan penggunaan BA Fusha dalam kalangan pengajar dan pelajar tanpa menjadikan ‘bukan negara Arab atau pelajar tidak faham sekiranya diajar dalam BA sepenuhnya’ sebagai alasan lagi. Bagi mendepani cabaran baharu, pihak berkaitan perlu memikirkan peluang kerjaya dalam bidang pengkhususan BA ini agar ianya tidak dilihat hanya sebagai bakal ustaz atau guru BA semata-mata atau menterjemah kitab, bahkan ia perlu sejajar dengan apa yang digambarkan oleh nama-nama program yang ditawarkan seperti komunikasi (kewartawanan Arab), komunikasi profesional, kesusasteraan islam dan keusahawanan. Sudah pasti kerjasama dengan pemain-pemain industri berkaitan amat diperlukan bagi memastikan apa yang terkandung dalam kurikulum program selari dengan kehendak dan keperluan industri abad ke-21, serta mampu mencipta peluang kerjaya sendiri.

— BERNAMA

Dr. Mohd Nizwan Musling merupakan Pensyarah Kanan (Bahasa Arab) Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )