Bajet 2022: Sebanyak RM332.1 bilion diperuntuk, tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR,. Bajet 2022 akan menyediakan sejumlah RM332.1 bilion, peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini dengan tumpuan ke arah memulihkan setiap segmen sosioekonomi negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, kerajaan bercadang menyediakan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Ketika membentangkan bajet berkenaan dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” di Dewan Rakyat, semalam, katanya, sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Tengku Zafrul berkata mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, di samping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun hadapan kepada RM234 bilion, kerajaan akan terus menyediakan bajet yang mengembang.

“Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 6.5 peratus pada 2021,” katanya.

Ini merupakan bajet tahunan pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 September lepas.

Bajet 2021 sebelum ini memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion.

Tengku Zafrul berkata Bajet 2022 yang dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama Ahli Parlimen merentasi doktrin politik akan mendokong tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Katanya, matlamatnya kekal dengan tiga fokus induk iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan.

“Bajet 2022 yang dijajarkan kepada RMK12 telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )