Bajet MAIWP 2023: RM1.4 bil diperuntuk bangunkan sosioekonomi ummah

Bajet MAIWP 2023: RM1.4 bil diperuntuk bangunkan sosioekonomi ummah

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyaksikan peningkatan 13.54 peratus, iaitu sebanyak RM1.4 bilion berbanding tahun 2022 sebanyak RM1.2 bilion.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata, peningkatan itu susulan anggaran pendapatan zakat MAIWP bagi tahun depan meningkat sebanyak 15.7 peratus berbanding tahun 2022, berjumlah RM1.11 bilion.

Kata Mohd Daud, intipati bajet tersebut juga selaras usaha pemerkasaan dan pemberdayaan sosioekonomi ummah dengan memberi fokus kepada pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf; pemerkasaan modal insan melalui pendidikan, latihan dan kompetensi pegawai; promosi dan program berimpak tinggi; pengukuhan anak syarikat yang berdaya saing dan pemakaian piawaian perakaunan.

“Pada tahun 2023, MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1 bilion melalui pusat pungutan zakat, PPZ-MAIWP.
“Lain-lain anggaran pendapatan MAIWP tahun 2023 terdiri daripada aktiviti sewaan, yuran pengajian, pelaburan, terimaan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan melibatkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Manakala, anggaran perbelanjaan MAIWP tahun 2023 adalah melibatkan perbelanjaan keseluruhannya RM1.4 bilion terdiri daripada perbelanjaan agihan zakat kepada asnaf berjumlah RM1.1 bilion, pengurusan berjumlah RM199 juta dan pembangunan RM70 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu Sidang Media Bajet MAIWP 2023 dan Program MAIWP-Insani, di Bangunan PERKIM, di sini, pada Selasa. Dalam pada itu, beliau menambah, bagi menampung anggaran perbelanjaan tahun 2023, pihaknya telah menyediakan Bajet Defisit melalui pencairan rezab simpanan dan wang tunai sebanyak RM162.12 juta.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MAIWP turut mengambil tindakan proaktif dengan menyalurkan Bantuan Zakat Khas di bawah Program MAIWP INSANI kepada asnaf-asnaf di Wilayah-wilayah Persekutuan.

Bantuan tersebut melibatkan 73,895 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM50 juta dan akan disalurkan secara berperingkat sehingga Disember 2022. “Seramai 30,000 penerima bantuan kewangan bulanan akan menerima bantuan zakat khas RM1,000 seorang dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM30 juta yang mana RM250 telah dibayar pada Ogos 2022 manakala baki RM750 akan dibayar pada Disember tahun ini.

“Selain itu, 36,750 penerima bantuan am persekolahan akan menerima zakat khas RM200 seorang melibatkan perbelanjaan RM7.35 juta,” ujarnya. Sementara itu, katanya, seramai 6,600 peneria bantuan am pelajaran institusi pengajian tinggi (IPT) akan menerima zakat khas RM500 seorang melibatkan perbelanjaan RM3.3 juta.

“Antara lain, bantuan zakat kahs bagi membiayai pelaksanaan aktiviti pelajar asnaf dan pembaikan infrastruktur sekolah rendah dan menengah, KAFA dan tahfiz di seluruh Wilayah Persekutuan melibatkan 530 institusi akan menerima RM30,000, dengan perbelanjaan RM15.9 juta.

“Manakala, bantuan khas tabung kebajikan hospital untuk menampung kos rawaan asnaf di 15 buah hospital melibatkan perbelanjaan sebanyak RM950,000,” katanya. Untuk rekod, setakat Oktober tahun ini, MAIWP telah mengagihkan kira-kira RM700 juta dana zakat kepada asnaf yang memerlukan.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)