BAM hantar pemain timba ilmu di Akademi Li Yongbo, China

BAM hantar pemain timba ilmu di Akademi Li Yongbo, China

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menghantar pemainnya berkelana menimba ilmu di Akademi Badminton Li Yongbo di Dongguan, China bagi meningkatkan prestasi skuad negara khususnya dalam acara perseorangan.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata inisiatif itu adalah hasil kerjasama badan induk berkenaan dengan jenama elektronik baharu iaitu FreeYond melalui pemeteraian penajaan selama setahun yang ditandatangani pada Rabu.

“Aspek paling penting mengapa kami menerima tawaran daripada Datuk Eddie Chai Woon Chet (Pengarah FreeYond) adalah kerana beliau juga mempunyai hubungan baik dengan Akademi Li Yongbo. Jadi beliau telah bercakap kepada Li Yongbo soal menghantar pemain kita ke akademi tersebut.

“Perbincangan bersama FreeYond ini hadir sebelum Piala Sudirman lagi dan kami telah berbincang soal terma dan syarat rundingan tajaan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani penajaan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu.

Beliau berkata pada masa sama, BAM akan menilai senarai pemain perseorangan lelaki dan wanita yang akan dihantar secara berfasa ke akademi itu sebelum diperluas kepada pemain beregu negara.

“Kita akan libatkan pemain yang akan mengharungi kelayakan Olimpik serta melihat pemain yang perlu dihantar ke sana termasuklah pemain sandaran terutama perseorangan,” katanya.

Terdahulu, perjanjian penajaan itu ditandatangani oleh Mohamad Norza dan Pengarah Eksekutif Fast Energy Vincent Tan Wye Chuan selaku pengedar eksklusif FreeYond.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)