BAM tawar sokongan psikologi kepada pemain negara

KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyediakan sokongan psikologi kepada pemain kebangsaan, sebagai inisiatif untuk memastikan kesihatan mental mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Perunding psikologi sukan BAM, Muhammad Deen berkata pandemik yang melanda seluruh dunia serta pelaksanaan PKP boleh mendatangkan tekanan dan ketidaktentuan kepada atlet.

“Ini sama sekali bukan situasi yang baik. Bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa kekuatan psikologi sebenar dibina ketika menghadapi kesukaran dan yang pasti berlaku dalam keadaan kita semua berada sekarang ini.

“Dengan perspektif itu, mungkin kita akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh ini. Penyediaan mental sama pentingnya dengan persiapan fizikal sepanjang tempoh sukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad yang menyertai BAM awal Mac lalu berkata beliau menggunakan platform interaktif seperti Zoom dan sidang video untuk berhubung dengan pemain setiap minggu.

“Kami akan fokus tentang apa yang boleh dikawal. Dari situ, kami akan mula membentuk persiapan mental agar bersedia apabila kejohanan kembali berlangsung.

“Kami menyasarkan pemain akan menjadi lebih baik selepas tamat tempoh nanti. Kami juga ingin tahu apa bakal dicapai selepas tamat tempoh PKP kelak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )