Bangkai helikopter dibawa keluar guna treler ke Subang untuk siasatan BSKU – Polis

Bangkai helikopter dibawa keluar guna treler ke Subang untuk siasatan BSKU – Polis

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Bangkai helikopter yang terhempas di Taman Melawati di sini pada 11.50 pagi tadi dibawa keluar menggunakan treler ke Subang untuk siasatan lanjut oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata bangkai helikopter itu akan diuruskan syarikat kendalian helikopter terbabit.

“Setakat ini, pasukan bomba dan pasukan kendalian syarikat helikopter itu sedang mengetuk serpihan-serpihan bangkai helikopter untuk diletakkan ke atas sebuah treler,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata helikopter malang yang terhempas itu tidak mempunyai kotak hitam kerana ia dikategorikan sebagai pesawat ringan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati proses untuk mengeluarkan bangkai helikopter itu menggunakan dua buah kren dan sebuah treler panjang.

Menurut sumber polis, bangkai helikopter itu dibawa keluar dari kawasan tersebut pada kira-kira 6.15 petang.

Dalam insiden itu, dua lelaki maut manakala dua lagi termasuk seorang wanita selamat dalam nahas melibatkan dua buah helikopter yang dipercayai berlanggar di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas di kawasan semak di Taman Melawati di sini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)