Bangunkan pelan hala tuju tingkat akses kepada teknologi bantuan
KUALA LUMPUR,. Semua pihak berkepentingan yang berkaitan perlu bersama-sama membangunkan sebuah pelan hala tuju dengan tindakan konkrit merentas garisan masa dan belanjawan bagi meningkatkan akses kepada teknologi bantuan yang boleh memanfaatkan pelbagai masyarakat.
Bercakap pada Persidangan Parlimen Negara-Negara Komanwel (CPC) ke-65 di Halifax, Kanada, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, berkata penambahbaikan akses kepada teknologi bantuan itu memberi manfaat kepada semua orang terutamanya mereka yang memerlukan sokongan dengan cara yang tepat pada masanya, sesuai dan berpatutan, mampu untuk hidup lebih sihat dan produktif.
Beliau berkata memasukkan teknologi bantuan dalam liputan kesihatan sejagat dan mengukuhkan peruntukan menerusi penjagaan kesihatan primer akan membantu memupuk populasi dan generasi masa hadapan lebih sihat yang boleh mengambil bahagian dan menyumbang sepenuhnya dalam pendidikan, pasaran buruh dan masyarakat umum.
“Melabur dalam akses kepada teknologi bantuan boleh menyokong pengukuhan sistem kesihatan dengan menambah baik hasil, mencegah keadaan sekunder dan mengurangkan kos penjaga,” katanya.
Teknologi bantuan termasuk peranti mobiliti seperti alat bantu jalan (walker) dan kerusi roda, serta perkakasan, perisian dan peralatan yang membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mengakses komputer dan teknologi maklumat yang lain.
Ras Adiba berkata tumpuan harus diberikan kepada teknologi bantuan seperti untuk kegagalan fungsi motor, perisian Pengecaman Aksara Optik (OCR), paparan Braille dan alat Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC) untuk mencipta pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.
Sementara itu, beliau berkata adalah penting untuk melibatkan pengguna teknologi bantuan seperti OKU, warga emas, orang yang menghidap penyakit kronik dan keluarga mereka dalam proses penggubalan dasar dan pelaksanaan teknologi bantuan.
Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan dalam menonjolkan kaedah teknologi bantuan itu yang dapat membantu tugas kakitangan OKU dan memajukan kerjaya mereka dengan cara yang sama seperti rakan sekerja bukan OKU.
Oleh itu, beliau mengesyorkan jabatan perkhidmatan awam agar mewujudkan standard pusat untuk sistem boleh diakses di jabatan kerajaan bagi membolehkan ia menjadi model ruang kerja yang memberi keyakinan kepada OKU.
Rasa Adiba turut berkongsi kepada Ahli-Ahli Parlimen negara Komanwel yang lain mengenai beberapa usaha yang dilakukan syarikat tempatan Malaysia dalam menyediakan teknologi bantuan untuk OKU iaitu Glomas Hitec Medic, Lend A hand dan SPEAK MODalities.
Selain itu, beliau juga mencadangkan beberapa tindakan untuk meningkatkan akses kepada teknologi bantuan seperti mengiktiraf teknologi itu sebagai produk dan perkhidmatan kesihatan penting yang merupakan komponen yang perlu dalam liputan kesihatan sejagat; membangunkan National Priority Assistive Products List dan melatih lebih ramai tenaga kerja peringkat komuniti melalui modul latihan dalam talian Latihan dalam Produk Bantuan (TAP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
— BERNAMA