Banjir di kampung halaman jejas fokus Azri hadapi Liga Super
KUALA LUMPUR,. Situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di Kelantan ketika ini menjejaskan fokus penjaga gol Perak, Azri Abdul Ghani bagi menghadapi saingan Liga Super yang bermula 27 Feb ini.
Pemain berusia 22 tahun itu yang sedang menjalani latihan bersama skuad ‘The Bos Gaurus’ di Ipoh ketika ini mengakui risau dengan keselamatan ibu bersama adiknya memandangkan rumahnya di Pulau Kundur, Kota Bharu telah dinaiki air sejak semalam.
Beliau, bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana abangnya yang berada di Pulau Pinang sempat kembali ke kampung halaman bagi membantu ibu serta adiknya menyelamatkan beberapa barang berharga.
“Saya sebenarnya memang tidak sedap hati apabila perlu berjauhan dengan keluarga dalam tempoh sukar seperti ini tetapi kalau saya nak balik sana pun banyak jalan sudah dinaiki air dan risau nanti tersekat pula,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.
“Sebelum ini tak pernah pula sampai nak banjir sehingga ke dalam rumah, tetapi tahun ini paras air naik mendadak dan dalam sekelip mata rumah kami dinaiki air jadi ibu dan adik sempat menyelamatkan beberapa barang penting sahaja.
Pada masa sama, Azri berharap keadaan banjir di Kelantan akan kembali beransur pulih seperti biasa bagi memastikan beliau dapat memberi fokus terbaik pada sesi latihan sebelum bermulanya saingan sebenar pada hujung bulan hadapan.
Bekas penjaga gol Kedah ini telah pun memulakan latihan bersama pasukan sejak Rabu lalu selepas menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Perak.
— BERNAMA