Banjir: dua lagi pusat pemindahan dibuka di Johor

Banjir: dua lagi pusat pemindahan dibuka di Johor

JOHOR BAHRU,. Sebanyak dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Johor lewat petang tadi bagi menempatkan seramai 195 mangsa daripada 47 keluarga yang terjejas akibat bencana itu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang di Pontian merupakan satu daripada PPS baharu itu manakala sebuah lagi adalah SK Kampung Pulai di Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Dengan pertambahan PPS itu, ini bermakna sudah terdapat empat PPS sedang beroperasi ketika ini termasuk PPS Kampung Parit Basilam dan Kampung Maju Jaya yang telah pun dibuka bermula semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, 111 orang daripada keseluruhan mangsa merupakan penduduk dari tiga kampung di Pontian iaitu Kampung Parit Basilam, Kampung Maju Jaya dan Kampung Batu 30, Bukit Panjang.

Sementara itu, bakinya pula merupakan penduduk Kampung Pulai di Gelang Patah.

“Selain daerah Pontian dan Iskandar Puteri, banjir turut berlaku di daerah Muar dan Batu Pahat namun tiada PPS dibuka.

“Kawasan yang terjejas di Muar ialah Kampung Sari Baru dan Kampung Seri Gelam dan di Batu Pahat (Kampung Jasa Wangi dalam Mukim Linau),” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)