Banjir: Koordinasi NADMA bersama agensi pasukan penyelamat lain dibuat secara teratur

Banjir: Koordinasi NADMA bersama agensi pasukan penyelamat lain dibuat secara teratur

KUALA LUMPUR,. Koordinasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi penyelamat lain dalam menghadapi musim bencana telah dibuat secara teratur dan baik, kata Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau berkata persediaan awal telah dibuat sebelum musim Monsun Timur Laut tiba, selain menambah baik prosedur operasi standard (SOP) menyelamat.

“Pelbagai latih amal telah dibuat bersama kesemua agensi penyelamat mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20.

“Kita tidak mempunyai masalah dalam mengkoordinasikan agensi penyelamat lain kerana kami banyak belajar daripada pengalaman-pengalaman lepas (pengalaman bencana alam),” katanya.

Khairul Shahril berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam Ruang Bicara bertajuk “Banjir: Bantuan Menyelamat, Kerjasama Agensi Penyelamat” anjuran Bernama TV di sini malam tadi.

Menurutnya, koordinasi antara agensi penyelamat lain dapat membantu pegawai-pegawai agensi berkenaan saling bertukar pandangan dan kefahaman SOP berkaitan tugas menyelamat.

“Selain itu, saya ingin menyeru masyarakat setempat agar menjadi pasukan responden pertama yang bertindak jika berlaku sesuatu bencana alam di kawasan mereka tanpa menunggu ketibaan bantuan penyelamat.

“Ini kerana penduduk setempat lebih mengetahui lokasi di mana berlaku bencana (air banjir naik), tempat untuk berpindah dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata sebanyak 150 bot telah diluluskan dalam peruntukan sebelum ini untuk diberi kepada komuniti setempat.

Beliau berkata kemudahan itu adalah untuk komuniti keluar lebih awal jika berlaku banjir dan memudahkan urusan menyelamat dapat dilaksanakan.

“Kita perlu memperkasa komuniti setempat agar mereka dapat bertindak dalam keadaan kecemasan sebelum bantuan tiba,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)