Banjir P. Pinang: sebuah PPS dibuka di Jawi
NIBONG TEBAL,. Hujan lebat lebih tiga jam di kawasan Jawi, di sini menyebabkan berlaku banjir kilat dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Serbaguna Jawi awal pagi ini bagi menempatkan 54 mangsa banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata PPS itu dibuka pada 3.45 pagi dan seramai 17 keluarga dari kawasan Jawi dipindahkan ke situ selepas rumah mereka dinaiki air antara 0.2 meter (m) hingga 0.5m.
“Hujan lebat sejak pukul 10 malam tadi menyebabkan kawasan Jawi mengalami banjir kilat kerana air naik begitu cepat berikutan limpahan air dari Sungai Jejawi yang mengalir deras,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata sehingga pagi ini mangsa banjir di PPS Tadika Kemas Kampung Manggis di Bukit Mertajam masih kekal seramai 31 orang daripada lapan keluarga ditempatkan di situ.
Menurutnya selain itu, beberapa kawasan di daerah Timur Laut di bahagian pulau juga mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat beberapa jam sejak malam tadi hingga awal pagi ini, namun tiada PPS yang dibuka setakat pagi ini.
Phee berkata antara kawasan yang mengalami banjir kilat di daerah itu ialah Jalan Van Praagh, Jalan P. Ramlee, Jalan Sir Ibrahim serta Jalan Terengganu dan paras air antara 0.1 m hingga 0.3 m itu mula naik pukul 11 malam.
“Punca banjir di kawasan itu disebabkan hujan lebat berterusan sehingga sistem perparitan tidak dapat menampung air dan ia diburukkan lagi dengan air laut pasang besar,” katanya.
Beliau berkata pihaknya mengambil langkah segera dengan menjalankan kerja pembersihan sistem perparitan dan memastikan tiada halangan ke atas sistem saliran serta sungai sedia ada.
Menurutnya, hujan lebat semalam turut menyebabkan sebuah batu besar kira-kira 500kg terjatuh ke tengah jalan dari kawasan bukit di Jalan Paya Terubong ke Relau yang menyebabkan berlaku kemalangan.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera atau kemalangan jiwa dalam kejadian melibatkan dua kenderaan itu, katanya.
“Pihak bomba bertindak mengalihkan batu tersebut dengan menggunakan teknik winching dan ia telah berjaya dialihkan,” katanya.
— BERNAMA