
Banjir: Satu PPS dibuka di Port Dickson tempatkan 32 mangsa
SEREMBAN,. Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Kampung Permatang Pasir, Port Dickson di sini yang menempatkan 32 mangsa daripada sembilan keluarga, pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata PPS berkenaan yang dibuka pada 8.30 pagi tadi menempatkan mangsa dari Taman Linggi Idaman, Darul Widad dan Kampung Permatang Pasir.
“Ia berikutan hujan lebat sejak malam tadi, lokasi itu memang kawasan rendah dan berdekatan sungai, jadi memang akan cepat dinaiki air, ketika ini hujan renyai dan banjir masih belum surut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata tiada kemusnahan harta benda yang teruk dilaporkan akibat banjir itu dan pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa.
— BERNAMA