Bank Dunia beri amaran kenaikan harga makanan, tenaga akibat konflik Rusia-Ukraine

Bank Dunia beri amaran kenaikan harga makanan, tenaga akibat konflik Rusia-Ukraine

WASHINGTON,. Konflik Rusia-Ukraine telah memberi “impak besar” terhadap pasaran komoditi, mengubah corak perdagangan, penghasilan dan penggunaan global, menurut laporan Bank Dunia pada Selasa, lapor Xinhua.

Kenaikan kos tenaga dalam tempoh dua tahun lalu adalah yang tertinggi sejak 1973, menurut tinjauan Pasaran Komoditi Bank Dunia.

Kenaikan harga komoditi makanan yang Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar besar, termasuk baja, yang bergantung kepada gas asli sebagai input pengeluaran, telah meningkat sejak 2008.

Laporan itu menganggarkan kos tenaga dijangka meningkat lebih 50 peratus pada 2022 sebelum kembali susut pada 2023 dan 2024.

Harga minyak mentah Brent dijangka US$100 setong pada 2022, paras tertinggi sejak 2013 dan peningkatan lebih 40 peratus berbanding 2021.

Harga minyak dijangka kembali sederhana kepada US$92 pada 2023, masih jauh di atas paras purata lima tahun sebanyak US$60 setong.

Sektor bukan tenaga, termasuk pertanian dan logam, diunjurkan meningkat hampir 20 peratus pada 2022.

Harga gandum diramal meningkat lebih 40 peratus, mencecah paras tertinggi dari segi nominal tahun ini.

Bagi harga logam pula ia diunjurkan menokok sebanyak 16 peratus pada 2022 sebelum susut pada 2023 tetapi kekal pada paras tinggi.

Sementara itu, harga komoditi dijangka kekal melebihi purata lima tahun terakhir.

Sekiranya berlaku konflik berpanjangan atau sekatan tambahan ke atas Rusia, harga mungkin menjadi lebih tinggi dan tidak menentu berbanding unjuran sekarang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)