Bank Islam turun BR kepada 2.77 peratus, BFR 5.72 peratus

Bank Islam turun BR kepada 2.77 peratus, BFR 5.72 peratus

KUALA LUMPUR,. Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyemak semula Kadar Asas (BR) sebanyak 50 mata asas daripada 3.27 peratus kepada 2.77 peratus, berkuat kuasa 12 Mei 2020.

Sementara Kadar Pembiayaan Asas (BFR) disemak semula daripada 6.22 peratus kepada 5.72 peratus, manakala pada masa sama, kadar deposit juga akan diselaraskan ke bawah sebanyak 50 mata asas, berkuat kuasa tarikh yang sama.

Keputusan itu adalah sejajar dengan langkah penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas oleh Bank Negara Malaysia, daripada 2.50 peratus kepada 2.00 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata Bank Islam akan menyusun strategi untuk mengimbangi portfolio pembiayaannya supaya kos dapat diurus dengan lebih berkesan.

Seterusnya, beliau berkata, ia akan membantu mengurangkan tekanan marjin pendapatan bersih (NIM).

Katanya, walaupun penurunan OPR ini akan memberi kesan pada pendapatan Bank Islam, keputusan yang dibuat itu adalah untuk kepentingan pelanggan.

“Bank Islam akan terus membantu masyarakat pada masa yang sukar ini dan terus menyokong ekonomi untuk kembali normal.

“Kami telahpun menjangka penurunan ini dan bersedia untuk segala kemungkinan yang timbul ekoran penurunan OPR ini dengan terus memberi fokus mempelbagaikan aliran pendapatan, terutamanya dalam segmen pendapatan berasaskan fi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Muazzam berkata, selain terus bertahan dan berwaspada, Bank Islam telah menerapkan strategi untuk bergerak maju dalam waktu yang mencabar ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memanfaatkan kemajuan teknologi, dan melaksanakan beberapa inisiatif pendigitalan untuk memacu kecekapan operasi, memberi sokongan tambahan kepada keuntungan jangka panjang dan daya maju keseluruhan.

“Kami sedar usaha ini adalah satu ‘norma baharu’ dan akan berusaha mengoptimumkan nilai dan sumber ke arah kelestarian dan kesejahteraan pelanggan, pemegang kepentingan dan juga Bank Islam,” katanya.

Semakan terakhir BR Bank Islam telah dilaksanakan pada 6 Mac 2020, iaitu daripada 3.52 peratus kepada 3.27 peratus, manakala BFR diturunkan daripada 6.47 peratus kepada 6.22 peratus.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)