Bank Rakyat sasar 10,000 pengunjung di Tourism and Halal Food Expo

Bank Rakyat sasar 10,000 pengunjung di Tourism and Halal Food Expo

KUALA LUMPUR: Seramai 10,000 pengunjung khususnya dari sekitar Lembah Klang disasarkan akan hadir pada program Tourism and Halal Food Expo anjuran Bank Rakyat berkonsepkan beli belah tanpa tunai selama lima hari bermula 21 hingga 25 Ogos di Menara Kembar Bank Rakyat.

Ekspo ini menampilkan lebih 150 agensi pelancongan dan perniagaan makanan halal terkemuka seperti Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Mamasab, Muiz Hot Chicken dan Mak Jenny serta banyak lagi yang menawarkan pelbagai promosi dan diskaun menarik.

Program ini juga memberi peluang kepada pemain industri dan masyarakat untuk meneroka produk pelancongan dengan tawaran harga kompetitif dan menikmati juadah yang dijamin halal.

Lebih menarik, agensi pelancongan dalam Tourism Malaysia turut memperkenalkan inisiatif promosi terbaharu “Fly Borneo Specials Vol. 2 – More Adventure Awaits You!” yang dikhaskan kepada pengunjung ekspo ini.

Tawaran istimewa ini adalah peluang keemasan untuk pelancong dan orang ramai meneroka tawaran serta promosi hebat untuk mengunjungi destinasi menarik di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan kemudahan pelan ansuran 0 peratus sehingga 36 bulan dengan menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bagi pembelian pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi pelancongan yang terlibat dalam ekspo ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semasa berucap dalam majlis perasmian ekspo ini berkata, inisiatif ini adalah platform terbaik bagi mana-mana perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri halal menerusi pemasaran produk makanan halal kepada masyarakat dalam satu bumbung.

“Saya menyeru kepada semua usahawan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dengan menjalin hubungan perniagaan di samping meneroka potensi baharu untuk terus memajukan sektor pelancongan dan makanan halal negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, penganjuran program tanpa tunai ini adalah komitmen berterusan pihak bank dalam menggalakkan amalan inisiatif tanpa tunai, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk

meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat Madani. “Inisiatif ini juga sebagai manifestasi Bank Rakyat dalam menyokong dan merancakkan industri pelancongan dan makanan halal negara kita.

“Diharapkan dengan usaha ini akan menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa untuk menerokai keunikan budaya dan makanan tempatan kita,” katanya. Ekspo ini juga membolehkan pengunjung untuk mengambil bahagian dalam aktviti yang dianjurkan seperti cabutan hadiah serta menikmati persembahan daripada buskers, dikir barat dan wayang kulit.

Pengunjung juga boleh memohon dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung produk dan perkhidmatan Bank Rakyat di reruai yang disediakan.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )