Banyak pelabur Malaysia lebih yakin guna mata wang kripto

Banyak pelabur Malaysia lebih yakin guna mata wang kripto

KUALA LUMPUR,. Majoriti pelabur Malaysia lebih yakin dengan idea untuk menggunakan mata wang kripto sebagai kaedah yang sesuai untuk mencapai dan mengekalkan kekayaan pada jangka panjang, menurut tinjauan yang dibuat oleh bursa aset digital, Luno Malaysia.

Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang memberitahu tinjauan dalam talian yang dibuat merentasi seluruh negara ke atas 1,015 orang dewasa, yang dilakukan oleh firma penyelidikan pasaran YouGov, mendapati 62 peratus pelabur semasa akan mempertimbangkan untuk melabur dalam aset alternatif seperti mata wang kripto sebagai langkah mempelbagaikan portfolio mereka.

Selanjutnya, 37 peratus responden menyatakan bahawa keupayaan mata wang kripto untuk tujuan pelaburan jangka panjang adalah salah satu daripada ciri utama yang ditawarkan oleh aset digital.

“Pada masa sama, 40 peratus responden berpendapat penggunaan mata wang kripto sebagai simpanan nilai alternatif adalah antara ciri menarik yang turut dimiliki oleh aset digital itu,” katanya dalam satu taklimat media pada Rabu.

Menurut Tang, 64 peratus daripada sampel populasi menyatakan mereka sering menyimpan wang, ini mencerminkan bahawa generasi muda Malaysia lebih proaktif dalam simpanan berbanding generasi yang lebih tua.

“Data itu turut mencerminkan bahawa responden berusia 18 hingga 34 tahun lebih cenderung untuk berada dalam kumpulan yang membuat simpanan secara kerap (66 peratus) berbanding hanya 55 peratus rakyat yang berusia 55 tahun ke atas.

Tang menambah, penyelidikan itu jelas menunjukkan banyak lagi kerja yang perlu dibuat, oleh pengawal selia dan industri, bagi mempersiapkan pelabur runcit untuk pasaran mata wang kripto.

“Walaupun ianya adalah satu petanda yang baik bahawa kebanyakan pelabur runcit memahami risiko yang berkaitan dengan perdagangan mata wang kripto dan cuba untuk menanganinya sebaik mungkin, kami merasakan jumlah pelabur yang benar-benar menjalani langkah penting tersebut adalah masih rendah.

Memandangkan semakin ramai pelabur runcit mula menunjukkan minat dalam aset digital, kami berasakan bahawa adalah sangat penting pada ketika ini untuk meningkatkan usaha dalam menggalakkan inisiatif celik kewangan bagi mendidik masyarakat mengenai potensi kegunaan mata wang kripto dengan lebih baik serta strategi yang boleh digunakan untuk mengurangkan pendedahan risiko,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)